Friday, November 26, 2010

Khutbah Jumaat Sulung di Bumi UNPAD

(Intro-pujian ke hadrat Allah dan anjuran bertaqwa)

Pada hari yang penuh barakah ini, saya berpesan kepada diri sendiri, dan seterusnya berpesan kepada semua saudaraku muslimin, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan taqwa yang sebenar-benarnya iaitu dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya serta meletakkan rasa takut hanya pada Allah, beramal dengan apa yang diturunkan, berlapang dada dengan kekurangan yang ada dan sentiasa bersedia untuk perpindahan ke alam yang kekal lagi abadi. Sesungguhnya ketahuilah orang yang paling baik di sisi Tuhan ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan dengan nilai ketaqwaan itu, kita akan beroleh kejayaan sebagaimana firman-NYA yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan janganlah kamu mati melainkan kamu berada dalam keadaan Islam”.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Mimbar Jumaat pada hari ini akan membincangkan sebuah khutbah yang bertemakan “Akidah Benteng Kekuatan Ummah”.

Berdasarkan Rukun Islam yang pertama, umat Islam wajib melafazkan pengakuan keimanan mereka kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW secara tepat dan betul. Lafaz Lailahaillallah dan Muhammadur Rasulullah menunjukkan bahawa Allah SWT adalah tuhan dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi kita. Penggunaan lafaz Lailahaillallah adalah suatu bentuk pengakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan sekaligus menafikan tuhan-tuhan selain-Nya.

Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW, dasar utama perjuangan baginda adalah menguatkan akidah yang mengambil masa selama 13 tahun di Makkah. Perjuangan menegakkan akidah yang berasaskan tiada tuhan melainkan Allah ini, bukanlah perkara mudah. Baginda terpaksa menjelaskan kepada masyarakat Musyrikin tentang konsep tuhan Yang Maha Esa itu. Justeru, persoalan besar timbul di sini ialah siapakah tuhan Yang Maha Esa itu?

Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, tuhanku ialah Allah Yang Maha Esa, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, ia tidak beranak, dan ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya”.

Berdasarkan penjelasan surah al-Ikhlas ini, maka khatib ingin menegaskan bahawa sebagai orang Islam, kita mesti yakin bahawa Allah mempunyai sifat-sifat Yang Maha Esa, Dia tidak beranak dan juga tidak pula diperanakkan serta tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya. Dengan itu, umat Islam wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya tuhan dalam Islam.

Namun sejarah membuktikan bahawa manusia pada asalnya mentauhidkan Allah SWT tetapi terdapat di kalangan manusia telah terpesong menjadi sesat kerana terpengaruh dengan dakyah yang sentiasa dibayangi musuh Allah yakni syaitan dan hawa nafsu bahkan mereka mencipta pula pelbagai ajaran sehinggalah muncul agama yang pelbagai. Mereka terpesong sehingga menukar sifat Allah Yang Maha Esa itu sesuka hati mereka seperti mewujudkan tuhan yang pelbagai jantina, pokok besar sebagai tuhan, tuhan boleh makan dan minum dan manusia juga boleh menjadi tuhan. Malah mereka menyempitkan bidangkuasa tuhan itu. Berdasarkan identiti tuhan boleh bertukar ganti, maka konsep Allah Yang Maha Esa inilah yang membezakan akidah Islam dengan agama yang lain.

Ajaran Nabi dan Rasul misalnya sejak Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa ’alaihimussalam dan Nabi Muhammad SAW telah berusaha meluruskan akidah manusia agar berterusan menyembah Allah Yang Maha Esa. Islam melalui pesuruh-Nya Nabi Muhammad SAW hadir untuk meluruskan kembali kesesatan agar kembali mengesakan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 171:

Maksudnya: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).”

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Islam merupakan agama yang suci yang mempunyai standard piawaian hukum hakam atau peraturan tertentu dalam menjaga kesucian nama Allah dan kitab sucinya. Bahkan orang-orang Islam sendiri pun tertakluk kepada standard piawaian penjagaan kesucian nama Allah dan al-Quran. Kita pernah mendengar dan membaca dalam laporan media cetak dan media elektronik bagaimana pihak–pihak tertentu memijak-mijak al-Quran, helaian al-Quran dimasukkan dalam lubang tandas, helaian al-Quran menjadi kertas pembungkus, dan nama-nama Allah ditulis di alas-alas selipar dan kasut serta dipijak-pijak.

Sebagai umat Islam, kita harus sedar bahawa terdapat banyak sekali cabaran yang berniat untuk mengugat kekuatan dan kesucian Islam pada masa kini baik dari luaran mahupun dalaman. Dalam usaha menghadapi cabaran yang mengugat akidah ini, maka khatib menyeru umat Islam agar mendalami dan memperkuatkan akidah dalam keluarga sendiri agar dapat mengenalpasti siapakah Allah dan sifat-sifat sebenar Allah Yang Maha Esa. Oleh itu para penegak Islam dan ibu bapa perlu lebih peka, lebih perihatin dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid dan akidah kepada anak-anak dan masyarakat Islam agar tidak terjebak dengan dakyah sesat dalam pemahaman tentang Allah SWT.

Khutbah Kedua

(Intro-pujian ke hadrat Allah dan anjuran bertaqwa)

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Dalam khutbah yang pertama tadi,khatib telah menjelaskan betapa pentingnya akidah untuk menjadi benteng kekuatan ummah. Oleh itu, sebagai kesimpulannya, khatib ingin menarik perhatian sidang Jumaat sekalian berhubung dengan konsep ketuhanan dalam Islam iaitu:

Pertama: kalimah tauhid atau kalimah syahadah adalah ikrar pengesaan tuhan yang Maha Esa, tidak memadai dengan hanya menyatakan pengakuan tetapi kita mesti membuktikan perbuatan dan tindak tanduk seharian selari dengan hukum Allah. Kadangkala kita marah pihak lain menghina Islam tetapi terdapat di kalangan kita pun tidak beramal dengan akidah dan syariat Islam.

Kedua: kalimah syahadah yang dijadikan asas akidah adalah kalimah paling selamat untuk mengelakkan dan memelihara kita terlibat dengan syirik.

Ketiga: Al-Qur’an dan As-Sunnah dijadikan bahan rujukan mutlak untuk mengetahui dan memahami akan sifat-sifat Allah kerana maklumat-maklumatnya yang lebih lengkap, lebih konsisten dalam mempertahankan ciri-ciri kesejagatan Allah itu, dan

Keempat: mempertahankan konsep ketuhanan bermaksud mempertahankan pengertian mengesakan Allah yang sebenar oleh mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT.

Maksudnya: “Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatupun; dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah bahawa kami adalah orang Islam.” (Surah Ali-Imran: 64)

Seterusnya, pada hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita sama-sama memperbanyakkan bacaan selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, nabi Muhammad SAW sesuai dengan perintah Allah Taala di dalam surah Al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

(bacaan selawat ke atas nabi)

Untuk akhirnya, marilah kita sama-sama bermunajat kepada Allah SWT supaya sentiasa melimpahkan kesejahteraan dan rahmat yang berpanjangan kepada kita semua serta menetapkan diri kita di dalam keimanan yang sebenarnya.

(bacaan doa untuk kesejahteraan kaum muslimin, muslimat, mukminin dan mukminat)

*Disampaikan pada hari Jumaat,26-11-2010 di Masjid As-syifa’ Fakultas Kedokteran UNPAD


0 comments:

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template