Friday, January 28, 2011

Tahajjud Cinta


Apabila kita merenung kembali, Allah SWT telah menciptakan segala sesuatu secara berpasangan. Allah telah menjadikan bumi dan langit, syurga dan neraka, lelaki dan perempuan, hidup dan mati dan sebagainya. Begitu juga dengan pertukaran siang dan malam yang silih berganti setiap hari. Semua penciptaan dan kejadian tersebut tidaklah sia-sia melainkan ada hikmahnya tersendiri yang tersembunyi yang perlu difikirkan bagi orang-orang yang menggunakan akalnya.

Sebagai satu contoh, untuk apakah Allah SWT menjadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah SWT dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah SWT. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.

Bagi orang-orang yang soleh, merindui malam ibarat pengantin baru menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam adalah waktu untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya.

Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ ayat 79 yang bermaksud : “Dan pada sebahagian malam hari dirikanlah kamu solat tahajjud sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”

Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya.

Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada malam hari ada suatu saat, tidaklah seorang muslim memohon kepada Allah kebaikan dari urusan dunia dan akhirat bertepatan dengan saat tersebut, melainkan Dia memberikan permohonannya dan hal tersebut pada setiap malam.” (HR Muslim)

Maka sebaik-baik pengisian pada waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggal keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan berdiri serta sujud kepada Allah SWT. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hamba-Nya yang menghidupkan malam.

Meskipun itu adalah janji dari Allah SWT kepada kita, namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia melakukannya.

Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah SWT nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwudhuk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas.” (HR Bukhari)

Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah SWT. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu solat malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya solat malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Taala, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa.” (HR Tirmidzi)

Di malam syahdu yang sepi ini,
Kucurahkan segala isi hati,
Mengapakah kini baru sedari,
Banyak perintahmu telah kuingkari.

Dulu hidupku sering terleka,
Diulit mimpi dunia yang fana,
Tapi tak pernah ku mencuba,
Untuk lari dari tipu dan dayanya.

Jiwaku yang dulu sepi,
Kini keinsafan telah kumiliki,
Berlinangan air mata ini,
Berderai jatuh membasahi bumi.

Terimalah munajatku Ya Allah,
Aku mengharapkan kasih dan sayangMu,
Hamba ini bergelumang dengan dosa,
Moga diberikan maghfirahMu.

Ku rebah di dada malam,
Memecah dendam yang lama diam,
Ku tanggalkan baju dunia,
Dakapku dengan selimut syurga.

Ya Tuhanku hanya padaMu,
Tempat mengadu segala rindu,
Limpahiku rahmat kasihmu,
Dalam Tahajjud Cinta bersujud.

Wallahu a’lam.

Friday, January 14, 2011

Online Dengan Tuhan


Suatu malam, sedang asyik mengulangkaji pelajaran, tiba2 kedengaran suara azan yang memecah kesunyian malam dari arah masjid yang berdekatan dengan rumah. Azan itu menandakan waktu solat isyak telah tiba. Lantas dengan segera urusan pelajaran ditinggalkan buat seketika untuk menuju ke rumah Allah bagi memenuhi panggilan Ilahi. Ketika melewati sebuah kamar seorang teman yang terbuka pintunya,

Hasan : “Sin,kenapa kau nampak sedih je ni..ada apa2 masalah ke? Kalau ada apa2 masalah bagitahu la kat aku..mana tahu aku boleh tolong ke..”

Husin : “ Erm..aku tengah tunggu “buah hati” aku online ni..dia janji nak online sekarang..tapi takde pun..aku dah tunggu dia kat setengah jam dah ni..sedih la tak dapat nak sembang dengan dia..risau pun ada gak ni takut2 dia nak tinggalkan atau lupakan aku ke..”

Hasan : “Owh..macam tu ke..relax la..takde apa kot..jap lagi dia online la tu..tapi sekarang ni dah masuk waktu isyak dah..jom kita gi solat kat masjid nak? Kita “online dengan Allah” dulu..nanti hilang la rasa sedih dan risau tu sebab Allah takkan pernah lupakan dan tinggalkan kita..sayang Allah kat kita lebih dari segala-galanya tau..”

Husin : “Ok la..betul gak tu..time kasih sebab tolong ingatkan aku..jom kita pegi!!”

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Jika kita perhatikan pada masa sekarang, hampir semua individu online setiap hari. Dalam zaman global dan serba canggih ini, internet, emel, ruang sembang seperti Yahoo Mesengger, Skype, jaringan sosial seperti Friendster, MySpace, Facebook dan sebagainya adalah medium perantara yang sinonim dengan masyarakat dalam berkomunikasi. Tidak kira di mana sahaja kita berada, online sentiasa berlaku tanpa mengira masa dan waktu.

Namun, hidup ini sebenarnya terkawal dan mempunyai hubungan langsung dengan Super Kuasa. Jaringan dengan makhluk adakalanya menjadikan kita lupa bagi mencipta jaringan langsung dengan Pencipta. Sedangkan hubungan antara seorang hamba dengan Tuhan adalah jauh lebih hebat dan melampaui teknologi online yang ada pada hari ini. Online dengan Tuhan yang dikatakan sebagai hubungan tanpa wayar (wireless) ini jauh lebih awal dan sudah bermula sejak Nabi Adam mula diciptakan lagi.

Berhubung dengan Tuhan melalui talian tanpa wayar?? Macam mane pulak tu??

Hmm....Tapi betul jugak kan? Kalau kita nak berhubung dengan Tuhan perlu ke internet, telefon dan sebagainya yang memerlukan wayar? Mestilah tak kan?? Sudah tentu kalau nak berhubung dengan Tuhan kita harus guna cara yang manual iaitu direct straight to Him.

“Internet itu Makhluq, ALLAH itu Khaliq.”

Online dengan Tuhan, tak perlu papan kekunci, tak perlu tetikus, tak perlu skrin dan sebagainya. Ianya sudah ada dalam diri setiap manusia, cuma nak atau tak nak je online dengan Tuhan. Ia lebih mudah daripada mengisi pasword email kita. Usah difikirkan tentang berapa harga dan bayaran yang akan dikenakan kerana ianya adalah percuma sahaja. Tidak ada modal yang mesti dikeluarkan bagi membeli sebarang kelengkapan untuk berinteraksi dengan Tuhan. Malah, pelbagai faedah dan keuntungan pula yang tersedia dan menanti kita. Satu tawaran yang cukup hebat kan? Justeru, kita boleh berhubung dengan Tuhan sepanjang masa tanpa perlu tergesa-gesa untuk menghentikan hubungan kita kerana memikirkan soal bayaran yang akan dikenakan. Segala-galanya FREE OF CHARGE!!

Online dengan Tuhan juga tiada masalahnya. Ia tidak sama seperti online dengan menggunakan internet yang banyak ragamnya. Masalah seperti error in connection, terputus connection dan sebagainya sama sekali tidak akan pernah mengganggu tumpuan kita. Sesungguhnya Tuhan sangat mudah untuk di “access” dan sentiasa “available” untuk kita. Allah sentiasa ada dan online saat kita memerlukan-Nya. Allah tidak pernah sengaja memutuskan talian dengan hamba2-Nya. Tidak seperti rakan2 kita yang hanya “available” di internet untuk beberapa jam sahaja atau “invisible to everyone” atau “offline” sama sekali. Oleh itu, mohonlah pada Allah sesuka hati kita. Luahkanlah segala isi hati kita kepada-Nya. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar rintihan kita setiap masa, SIANG dan MALAM, 24 HOURS PER DAY!!

Katakan dalam hati dengan jelas bersama-sama niat sembahyang lima waktu kita, Aku nak online atau aku sedang online dengan Tuhan (ALLAH), lalu dengan sekilas nyatanya hati kita akan khusyuk dalam setiap bacaan tertib sembahyang. Jika khusyuk telah hadir, pastinya badan kita terasa sedikit berdetik-detik tandanya ada litar talian online memasuki salur darah kita.

Bacalah Al- Fatihah dengan sekhusyuk-khusyuknya, tenangkan jiwa dan perasaan, pastikan fokus dan tumpuan kita hanya kepada Allah SWT pada setiap bait-bait bacaan.

Perhalusi lagi dan perdalamkan lagi fokus kita ketika online dengan Tuhan sewaktu mengerjakan solat 5 waktu, zikir dan solat-solat sunat. Kita sebenarnya tidak perlu memohon bantuan dari sesiapa pun, cukuplah dengan cara online bersungguh-sungguh dengan Allah. Kadang-kadang sampai ada orang yang menangis teresak-esak ketika online, kita pula macam mana? Jadi mulakanlah sekarang dengan online dan berkata-kata atau berkomunikasi dengan Tuhan secara solo. Perbetulkan pegangan, fokus dan matlamat kita. Allah sentiasa mendengar dan mengabulkan setiap permohonan hamba-Nya.

Mintalah apa yang kita nak minta, pohonlah apa yang kita nak pohon.

Buatlah apa yang anda nak buat, semuanya akan Tuhan berikan dengan izin-Nya.

Tetapi AWAS... Baik dibalas baik, jahat dibalas jahat!! - Itu adalah janji Tuhan.

Jika sekiranya kita gelisah, jiwa kacau, takut, kesedihan, kesusahan atau apa-apa sahaja, janganlah tersesat jalan meminta bantuan daripada jalan yang salah. Mohonlah kepada Allah.

“Wahyu tanpa wayar, ibarat wireless network.”

Sebagaimana yang kita tahu, dalam banyak-banyak mukjizat, mukjizat yang kekal hingga ke hari akhirat ialah Al-Qur’an dan ia adalah kompilasi wahyu tanpa wayar. Menurut Dr.Yusuf Al-Qardhawi:

“Kitalah kaum muslimin satu-satunya umat yang memiliki
manuskrip langit yang paling sahih, yang mengandungi kata-kata ALLAH yang terakhir, yang diberi kepada manusia sebagai petunjuk.”

Dalam surah al-Hijr ayat 9 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami yang menurunkan ayat al-Qur’an dan Kami pasti memeliharanya.”

Betul juga kan?? Andai kita mudah sahaja menggunakan Google untuk mencari perkara-perkara yang tidak berfaedah, kenapa tidak kita “browse” juga Al-Qur’an sekaligus tadabbur dan tafsir ayat yang tersirat.

Biasanya, waktu hujan lebat kita pasti akan menutup internet serta komputer bagi mengelakkan terkena panahan petir. Tapi pernahkah kita terfikir sebenarnya masa inilah antara masa yang paling sesuai untuk kita ber’ONLINE dengan Tuhan’ kerana pada waktu ini, DOA mudah diperkenankan oleh Allah dan ianya merupakan antara waktu terbaik.

Ingatlah bahawa hidup kita sementara sahaja, sesiapa yang belum lagi cuba-cuba nak online dengan Tuhan, segeralah berbuat demikian. Banyak faedah dan manfaatnya. Banyak keuntungannya. Banyak fadilatnya. Macam-macam lagi.

“Jika kamu mahu berbicara dengan Allah maka dirikanlah SOLAT dan jika kamu mahu Allah berbicara dengan kamu maka bacalah AL-QURAN…..Salah satu komunikasi 2 hala yang paling efektif antara seorang hamba dengan Tuhannya.”

Andai kita boleh berhubung dengan kawan-kawan melalui YM dan facebook, mengapa tidak kita berhubung secara terus dengan ALLAH?? Fikir-fikirkan........

Wallahu a’lam


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template