Saturday, February 5, 2011

Islam di Hati


Ali : Assalamualaikum pak cik..tumpang tanya ya..macam mana nak pergi ke Hentian Bas Putra?

Pak cik : Waalaikumussalam..owh,ada banyak jalan nak ke sana. Kamu nak lalu jalan yang mana satu?

Ali : Yeke pak cik..kalau macam tu pak cik beritahu saya jalan yang paling mudah dan selamat nak ke sana. Saya orang baru kat sini..kalau silap jalan boleh sesat saya nanti.

Pak cik : Baik..kalau macam tu kamu ambik jalan ni saja..jalan ni lurus je,takde belok ke kanan dan kiri..Nanti depan sikit kamu dapat jumpa hentian bas tu..

Ali : Baik pak cik..terima kasih!!

Agak-agaknya, apa kesimpulan yang boleh kita dapat dari kisah di atas?

Kita boleh lihat bagaimana keputusan yang telah dibuat oleh Ali. Sebagai orang baru di tempat itu, dia telah memilih untuk melalui jalan yang paling mudah dan selamat bagi menuju ke destinasinya iaitu Hentian Bas Putra. Begitu bimbang dan takutnya dia sekiranya tersesat dan tidak berjaya sampai ke destinasi yang ingin dituju. Ternyata dia telah berjaya mengambil tindakan yang tepat dan keputusan yang sewajarnya dilakukan olehnya pada masa itu.

Tetapi persoalannya………bagaimana pula dengan urusan kehidupan kita yang jauh lebih penting dan utama daripada urusan seperti di atas? Adakah kita telah memilih jalan yang paling tepat dan selamat untuk sampai ke destinasi terakhir kita nanti? Mampukah perasaan bimbang dan takut tersesat menghantui dan menguasai diri kita disebabkan tersilap memilih haluan hidup?

Kehidupan kita di dunia juga begitu. Banyak jalan dan cara yang tersedia yang boleh diambil untuk menuju ke destinasi terakhir kehidupan.

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya.” (QS 91:8)

Tetapi harus kita ketahui bahawa setiap jalan adalah berbeza. Tersilap memilih dan mengikuti jalan yang diambil pasti membawa padah dan derita. Yang dirasai hanyalah sebuah kesesatan dan sengsara.

Namun sememangnya fitrah manusia, sudah tentu menginginkan rasa bahagia, aman, selamat dan sentosa. Rasa yang dapat diperolehi dengan mengikuti jalan yang paling tepat dan benar. Satu-satunya jalan yang sempurna, menyeluruh dari semua segi kehidupan dan paling diredhai-Nya sebagaimana mafhumnya :

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (QS 3:19)

Mungkin kita sudah biasa mendengar dan melihat produk yang menawarkan “3 in 1” atau lebih dari itu. Pasti produk itu berjaya menarik perhatian kita untuk mencubanya disebabkan kita yakin banyak kelebihan yang dimilikinya kan? Dan dengan senang hati kita pasti akan membelinya dan menolak produk-produk yang lain. Jika kita berasa enak dan selesa dengan produk itu tentu kita suka menggunakannya secara rutin kan?

Islam juga begitu. Malah lebih lagi dari konsep “3 in 1” itu. Ia hadir sebagai satu sistem yang menyeluruh dan merangkumi semua segi kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan pengadilan, materi dan sumber daya alam, penghasilan dan kekayaan, jihad dan dakwah, pasukan dan pemikiran. Sebagaimana Islam juga aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, Islam tidak boleh dikurangi dan ditambah.

Begitulah Islam. Ia hadir sebagai “the way of life” bagi menjamin keselamatan dan keharmonian hidup manusia di dunia dan di akhirat. Semua aspek dalam kehidupan tidak akan terlepas dari ajaran Islam yang murni ini. Semuanya telah terangkum secara jelas dan terperinci di dalam dua buah sumber yang paling lengkap. Sumber yang menjadi rujukan dan panduan sepanjang hayat bagi meraih kebahagiaan.

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: “Aku tinggalkan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah.” (HR Abu Daud & Imam Malik)

Wallahua’lam

0 comments:

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template