Thursday, March 17, 2011

Visi dan Misi Seorang Hamba


Pertama sekali, syukur Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) dipanjatkan kehadrat Allah di atas suatu kesempatan dan nikmat kelapangan waktu yang telah diberikan ini. Rasanya sudah agak lama juga saya tidak berpeluang untuk mencoret “mutiara & hikmah” di sini bagi peringatan buat diri sendiri khasnya dan buat sahabat2 semua umumnya.

Sememangnya kehidupan kita di dunia ini penuh dengan pelbagai urusan setiap masa dan ketika. Selesai satu perkara bertandang pula perkara yang lain. Atau mungkin juga perkara yang sedang dikerjakan itu masih lagi belum selesai dengan sempurna tetapi kerja2 yang lain telah pun menanti kita di hadapan sana. Begitulah lumrah seorang manusia bersama kehidupan dunianya. Namun, jika kita gagal untuk mengurus masa dengan baik, sudah tentu kita akan mudah ditipu dan diletihkan oleh urusan kehidupan ini.

Rasulullah saw pernah bersabda, “Ada 2 nikmat di mana kebanyakan manusia tertipu atau lalai dengan keduanya iaitu nikmat sihat dan masa lapang.” (HR Bukhari dari Ibnu Abbas)

Pada kali ini, saya ingin berkongsi dan memetik sebahagian ayat2 Allah dari surah Al-‘Asr yang terdiri daripada 3 ayat sahaja. Walaupun surah ini antara surah2 yang terpendek dalam Al-Quran, tapi ia dapat memberikan suatu impak yang cukup besar. Walaupun kita juga sering mendengar, membaca dan menghafalnya, tapi ia mampu memberikan suatu kesan yang mendalam bagi orang2 yang mahu merasai dan menghayatinya.

Dalam surah yang ke-103 ini, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar2 berada dalam kerugiaan, kecuali orang2 yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”

Demi masa, demikian Allah bersumpah. Bukan main2 tentunya, kerana Allah telah menegaskan bahawa sesungguhnya semua manusia pasti akan rugi jika tidak menitikberatkan masa. Ini kerana masa atau waktu merupakan suatu momentum untuk kita meraih prestasi sebaik mungkin. Masa yang telah berlalu tidak akan pernah kembali lagi. Hanya mampu menjadi sejarah dan kenangan peribadi sahaja.

Tetapi bukan semua manusia termasuk dalam golongan orang2 yang rugi. Pengecualian diberikan khusus buat 4 golongan yang bertuah ini sahaja iaitu:

v Orang yang beriman

v Orang yang mengerjakan amal soleh

v Orang yang menasihati dalam kebenaran

v Orang yang menasihati dalam kesabaran

Dalam menyikapi surah ini, Imam Syafie rahimahullah berkata, “Seandainya manusia memahami ayat ini cukuplah agama ini baginya.” Apa maksudnya? Tentunya bermakna surah ini merupakan intisari bahawa hidup adalah kumpulan waktu. Orang yang tak mampu menggunakan waktu dialah orang yang dijamin bakal rugi.

Merujuk kepada surah ini, golongan pertama yang dinyatakan oleh Allah tidak akan rugi ialah “orang2 yang beriman”. Kita tahu bahawa setiap perkara yang kita lakukan pasti mempunyai visi atau matlamatnya yang tersendiri kan? Begitu juga dengan makhluk ciptaan Allah yang bernama manusia ini. Pasti ada visi yang ingin dicapai dan dilahirkan. Dan inilah VISI sebenar dan hakiki seorang manusia iaitu untuk menjadi orang2 yang beriman.

Dalam ayat ini, Allah SWT mengajar dan mengingatkan kepada manusia tentang masa depannya melalui visi iaitu menjadi orang2 yang beriman. Ini kerana hanya orang yang berimanlah yang mempunyai gambaran dan matlamat yang jelas terhadap masa depan dalam kehidupan dunia ini. Kita tahu dan faham bahawa visi seorang manusia adalah menjadi orang2 yang beriman. Tetapi iman yang bagaimanakah yang perlu kita lahirkan? Ciri2 iman yang bagaimana yang kita impikan?

Iman yang kita harapkan memilikinya sudah tentulah sepertimana yang telah disebutkan oleh Allah di dalam surah Al-Anfal ayat 2 iaitu:

“Sesungguhnya orang2 yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat2Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.”

Golongan kedua pula adalah “orang2 yang mengerjakan amal soleh”. Untuk mencapai visi yang diharapkan, kita memerlukan kepada misi iaitu suatu susunan gerak kerja atau langkah2 yang boleh kita lakukan bagi memastikan visi kita tercapai. Bagi orang2 yang beriman, inilah MISI yang perlu mereka lakukan iaitu dengan mengerjakan amal2 yang soleh. Sesungguhnya iman dan amal soleh ini memang merupakan suatu perkara yang tidak dapat dipisahkan lagi. Iman dan amal soleh saling terkait dan dapat memberikan positive feedback dengan saling menguat antara satu sama lain. Sebab itulah Allah sentiasa menyebut tentang iman dan amal soleh secara berpasangan di dalam Al-Quran bagi mengingatkan manusia kepada 2 elemen terpenting dari kehidupan di dunia iaitu visi dan misinya. Kenapa misi ini begitu penting sekali? Sudah tentu….kerana jika tiada misi yang sebenar, manusia akan cenderung melakukan keburukan dan kerosakan di muka bumi dan ini sangatlah bertentangan sekali dengan misi kita.

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh baik laki2 mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan memberikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (QS An-Nahl: 97)

Seterusnya, golongan manusia yang dijamin tidak rugi oleh Allah adalah “orang2 yang berpesan2 dalam kebenaran”. Dalam usaha kita untuk menggalas visi dan misi ini, ada satu hal penting lagi yang mesti disertai bersama iaitu perinsip yang cuba diperjuangkan. Di sini, Allah mahu menggambarkan kepada kita tentang PERINSIP yang mesti dipegang dan dijunjung tinggi iaitu kebenaran. Walaupun sudah mempunyai matlamat yang jelas, tetapi cara dan nilai yang diperjuangkan juga mestilah betul dan dibenarkan agama kerana kita mungkin telah biasa mendengar ungkapan yang mengatakan “matlamat tidak menghalalkan cara”. Justeru, sebagai seorang yang beriman dan beramal soleh, untuk menjunjung tinggi perinsip kebenaran, kita mestilah menghampiri kepada 2 sumber utama kita iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasul kerana semakin kita menjauhi sumber, maka akan semakin mudah kita tergelincir keluar dari landasan yang direntasi yang boleh membawa kepada kesesatan.

Yang terakhir, golongan yang tidak akan rugi adalah “orang2 yang berpesan2 dalam kesabaran”. Dalam ayat yang terakhir ini, Allah mahu menjelaskan kepada kita tentang STRATEGI yang mesti dimiliki dalam melakukan sesuatu perkara. Mempunyai visi, misi dan perinsip sahaja tidak cukup, tetapi ia mestilah disokong dan didukung kuat oleh strategi. Jadi strategi yang harus dimiliki di sini adalah kesabaran.

Kita sudah sedia maklum bahawa dalam melakukan sebarang pekerjaan pastilah tidak mudah dan banyak rintangan yang akan dihadapi. Tetapi harapnya rintangan dan kepayahan itu tidak akan mematahkan semangat kita untuk terus berusaha dan berikhtiar bersungguh2. Strategi dan perancangan tetap harus dijalankan serta tersusun rapi dan sistematik bagi meraih kejayaan. Begitu juga dengan kehidupan kita yang singkat ini. Sudah tentu ujian dan dugaan akan sentiasa singgah menerpa dan menyapa kita. Oleh itu, kesabaran inilah yang paling tepat untuk menjadi strategi dan jalan penyelesaiannya yang sangat dianjurkan oleh Allah.

“Hai orang2 yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung”. (QS Ali-Imran: 200)

Sebagai kesimpulan, seorang manusia dan seorang hamba kepada Allah yang tidak mahu dikatakan rugi mestilah mempunyai 4 elemen penting ini dalam kehidupannya iaitu:

Ø VISI : iman

Ø MISI : amal soleh

Ø PERINSIP : benar

Ø STRATEGI : sabar

Wallahu a’lam

Friday, February 18, 2011

Gila Kuasa atau Gila Pahala?


Rasulullah saw menegaskan bahawa setiap orang adalah pemimpin. Dalam sebuah hadis, baginda bersabda :

“ Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Imam yang memimpin umat manusia adalah pemimpin dan akan ditanya tentang rakyatnya. Laki-laki adalah pemimpin bagi keluarganya dan akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin bagi rumah suaminya dan anaknya serta akan ditanya tentang mereka. Hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan akan ditanya tentang harta tersebut. Demikianlah, setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang yang dipimpinnya.” (HR Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar ra)

Hadis ini secara tegas menyebutkan bahawa wilayah kepemimpinan manusia adalah berperingkat-peringkat, bermula dari kepemimpinan terkecil dalam rumah tangga sehinggalah kepemimpinan tertinggi dalam kehidupan bernegara dan kepemimpinan antara negara (kekhilafahan). Semakin luas wilayah kekuasaan seseorang, maka semakin besar tanggungjawab yang dipikulnya. Tetapi, semakin besar pula pahala yang diraihnya jika dia mampu mengarahkan dan membimbing orang-orang yang dipimpinnya ke jalan yang lurus.

Apabila ibu bapa berjaya mendidik dan membimbing anak-anak yang berada di bawah kepemimpinannya, sehingga mereka menjadi anak-anak yang soleh, maka ibu bapa akan mendapatkan pahala yang terus mengalir dari doa anak-anaknya dan mendapat bahagian pahala dari kebaikan yang dilakukan oleh mereka. Sebab ibu bapa menjadi penyebab kesolehan anak-anaknya. Rasulullah saw bersabda :

“Apabila manusia meninggal, maka (pahala) amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (HR Tirmidzi)

Apabila pemimpin rakyat berjaya membimbing rakyat-rakyatnya kepada kesolehan melalui arahan-arahannya, peraturan-peraturan yang ditetapkannya, keteladanan yang ditunjukinya dan pelbagai kemudahan perbaikan yang diwujudkannya, maka dia akan mendapat pahala dari setiap kebaikan yang dilakukan oleh rakyat-rakyatnya. Sebab dialah yang menjadi penyebab kepada kesolehan mereka.

Rasulullah saw menegaskan hal itu dalam sabdanya,

“Siapa yang menunjukkan pada kebaikan, maka dia akan mendapat (pahala) seperti (pahala) yang diperolehi oleh orang yang melakukan kebaikan tersebut.” (HR Muslim dari Abu Mas’ud Al-Badry ra)

Hadis ini memberikan pengajaran kepada kita bahawa memberi atau menyediakan kemudahan kepada orang lain untuk melakukan kebaikan, memiliki pahala seperti orang yang melakukannya. Maka semakin ramai orang yang mendapat kemudahan dan manfaat dari kita, semakin banyak pula pahala yang diraihnya.

Rasulullah saw juga bersabda,

“Barangsiapa yang memberikan satu contoh yang baik dalam Islam, lantas ditiru orang setelahnya, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang-orang yang mencontohinya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan, barangsiapa memberikan contoh buruk dalam Islam, lantas ditiru orang setelahnya, maka dia mendapat dosa seperti dosa orang-orang yang mencontohinya, tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.” (HR Muslim)

Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang akan mendapat pahala dari kebaikan yang dilakukan oleh orang-orang yang meniru kebaikan yang dilakukannya. Semakin ramai yang mencontohi kebaikannya, maka semakin banyak pahala yang diraihnya.

Memang, semakin luas kepemimpinan seseorang, semakin besar tanggungjawab yang dipikulnya dan semakin besar risiko yang akan dihadapinya, akan tetapi semakin besar pula pahala yang akan diberikan oleh Allah SWT jika dia berlaku adil dan menunaikan kepemimpinan sesuai dengan aturan Allah SWT. Sebab itu, tidak hairan jika Rasulullah saw menyebut pemimpin yang adil dalam urutan pertama, ketika menyebut tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan di hari kiamat pada saat tidak ada naungan pada hari itu kecuali naungan Allah SWT. Sebab semakin luas wilayah kepemimpinan seseorang, maka semakin ramai orang yang mendapat kemudahan untuk melakukan kebaikan, semakin ramai yang akan meniru kebaikannya dan semakin banyak pula peluang untuk melakukan berbagai kebajikan.

Oleh sebab itu, ketika seseorang hendak memegang sesuatu jawatan penting, jangan hanya memikirkan risiko dan tanggungjawab yang bakal dipikulnya, hingga merasa takut dan berat memegang amanah tersebut, tetapi hendaklah berupaya sebaik mungkin mengurangi risiko. Kemudian, bertawakkallah kepada Allah SWT dan ingat pahala yang disediakan oleh-Nya bagi orang yang menunaikan amanah sebagaimana selayaknya.

Apabila seseorang yang akan memegang jawatan hanya memikirkan tentang risiko, tanpa mengingati keuntungan yang dijanjikan oleh Allah SWT melalui jawatan tersebut, maka dia akan menolak jawatan itu dan menyerahkannya atau membuka peluang kepada orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Ibarat orang yang mahu meniti jambatan gantung yang tinggi, jika hanya memikirkan bahaya kalau jatuh, maka orang itu tidak akan jadi menyeberang. Sebaliknya, jika memikirkan manfaat besar yang ada di hujung penyeberangan, maka dia akan bersemangat menyeberangi jambatan tersebut, namun tetap berhati-hati dan waspada. Akan tetapi, jika bahaya tidak dihiraukan hingga semangat berlebihan, maka akan menimbulkan masalah juga. Justeru ingatlah, dengan kepemimpinan kita boleh dimuliakan dan dengan kepemimpinan juga kita boleh dihinakan oleh Allah.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 26 yang bermaksud :

“Katakanlah, wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Wallahu a’lam.

Saturday, February 5, 2011

Islam di Hati


Ali : Assalamualaikum pak cik..tumpang tanya ya..macam mana nak pergi ke Hentian Bas Putra?

Pak cik : Waalaikumussalam..owh,ada banyak jalan nak ke sana. Kamu nak lalu jalan yang mana satu?

Ali : Yeke pak cik..kalau macam tu pak cik beritahu saya jalan yang paling mudah dan selamat nak ke sana. Saya orang baru kat sini..kalau silap jalan boleh sesat saya nanti.

Pak cik : Baik..kalau macam tu kamu ambik jalan ni saja..jalan ni lurus je,takde belok ke kanan dan kiri..Nanti depan sikit kamu dapat jumpa hentian bas tu..

Ali : Baik pak cik..terima kasih!!

Agak-agaknya, apa kesimpulan yang boleh kita dapat dari kisah di atas?

Kita boleh lihat bagaimana keputusan yang telah dibuat oleh Ali. Sebagai orang baru di tempat itu, dia telah memilih untuk melalui jalan yang paling mudah dan selamat bagi menuju ke destinasinya iaitu Hentian Bas Putra. Begitu bimbang dan takutnya dia sekiranya tersesat dan tidak berjaya sampai ke destinasi yang ingin dituju. Ternyata dia telah berjaya mengambil tindakan yang tepat dan keputusan yang sewajarnya dilakukan olehnya pada masa itu.

Tetapi persoalannya………bagaimana pula dengan urusan kehidupan kita yang jauh lebih penting dan utama daripada urusan seperti di atas? Adakah kita telah memilih jalan yang paling tepat dan selamat untuk sampai ke destinasi terakhir kita nanti? Mampukah perasaan bimbang dan takut tersesat menghantui dan menguasai diri kita disebabkan tersilap memilih haluan hidup?

Kehidupan kita di dunia juga begitu. Banyak jalan dan cara yang tersedia yang boleh diambil untuk menuju ke destinasi terakhir kehidupan.

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya.” (QS 91:8)

Tetapi harus kita ketahui bahawa setiap jalan adalah berbeza. Tersilap memilih dan mengikuti jalan yang diambil pasti membawa padah dan derita. Yang dirasai hanyalah sebuah kesesatan dan sengsara.

Namun sememangnya fitrah manusia, sudah tentu menginginkan rasa bahagia, aman, selamat dan sentosa. Rasa yang dapat diperolehi dengan mengikuti jalan yang paling tepat dan benar. Satu-satunya jalan yang sempurna, menyeluruh dari semua segi kehidupan dan paling diredhai-Nya sebagaimana mafhumnya :

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (QS 3:19)

Mungkin kita sudah biasa mendengar dan melihat produk yang menawarkan “3 in 1” atau lebih dari itu. Pasti produk itu berjaya menarik perhatian kita untuk mencubanya disebabkan kita yakin banyak kelebihan yang dimilikinya kan? Dan dengan senang hati kita pasti akan membelinya dan menolak produk-produk yang lain. Jika kita berasa enak dan selesa dengan produk itu tentu kita suka menggunakannya secara rutin kan?

Islam juga begitu. Malah lebih lagi dari konsep “3 in 1” itu. Ia hadir sebagai satu sistem yang menyeluruh dan merangkumi semua segi kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan pengadilan, materi dan sumber daya alam, penghasilan dan kekayaan, jihad dan dakwah, pasukan dan pemikiran. Sebagaimana Islam juga aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, Islam tidak boleh dikurangi dan ditambah.

Begitulah Islam. Ia hadir sebagai “the way of life” bagi menjamin keselamatan dan keharmonian hidup manusia di dunia dan di akhirat. Semua aspek dalam kehidupan tidak akan terlepas dari ajaran Islam yang murni ini. Semuanya telah terangkum secara jelas dan terperinci di dalam dua buah sumber yang paling lengkap. Sumber yang menjadi rujukan dan panduan sepanjang hayat bagi meraih kebahagiaan.

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: “Aku tinggalkan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah.” (HR Abu Daud & Imam Malik)

Wallahua’lam

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template