Sunday, May 23, 2010

Detiknya Pasti Tiba

Sebagai memulakan posting untuk kali ni,terlebih dahulu saya ingin mengucapkan salam takziah kepada saudari Nashitul Amani dari TWP 09 dan saudara Muhammad Azlan dari FK 08,yang juga merupakan mentee saya untuk program Mentor Mentee Akademik tahun lepas di atas pemergian ayahandanya yang tercinta menyahut panggilan Ilahi baru2 ini. Semoga kalian berdua tabah dalam menghadapi ujian dan ketentuan dari Allah ini ke atas setiap hamba-Nya.

Sahabat2ku…………..

Usahlah ditangisi insan yang telah pergi meninggalkan kita kerana kematian itu sememangnya hakikat dan kepastian yang hadirnya tidak pernah kita alukan. Baik kita tua,muda,miskin ataupun kaya semuanya pasti akan melaluinya.

Cuba kita semak sebentar di dalam Al-Quran apa kata Allah tentang kematian ini. Allah Taala berfirman, “Tiap2 yang bernyawa pasti akan mati. Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahala kalian. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga,maka sungguh dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali-Imran:185)

Namun,saya juga yakin dan percaya ramai daripada kalangan kita yang telah mengakui dan menerima hakikat kematian itu tetapi mungkin kurang serius dari segi persiapan menghadapi kematian tersebut. Sebagai satu analogi yang boleh dikongsikan bersama,mungkin ada sebahagian daripada kita telah merancang hendak membeli tanah dan rumah di mana apabila pencen dari kerja nanti. Semuanya telah dirancang dengan tersusun dan sistematik. Sedangkan belum tentu lagi umur kita akan sampai ke peringkat pencen tersebut. Namun,kematian adalah merupakan sesuatu perkara yang pasti kita sampai kepadanya,tetapi sedikit sahaja manusia yang serius melakukan persiapan terhadap kepastian itu.

Hal ini kerana mungkin disebabkan oleh kebanyakan daripada kita telah tertipu dengan drama2 di dalam televisyen yang menunjukkan betapa senang dan mudahnya menghadapi kematian. Hanya dengan sakit dada secara lebih kurang sambil mengurut dada tiga empat kali,bersandar di atas bangku dan melentok kepala ke kanan lalu akhirnya mati.

Nampak begitu senang saja kematian sehingga ia menjadi bahan olok-olokan yang tidak lagi memberikan kesan kepada kita. Sedangkan nabi saw ada menyebut dalam sepotong hadis yang berbunyi “Orang yang paling bijak adalah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling bersedia menghadapinya.” (HR Ibnu Majah )

Tetapi shbt2ku….Islam tidak mengajar kita untuk takut kepada kematian,tetapi Islam mengajar kita untuk bersedia terhadap kematian kerana kematian itu bukanlah akhir bagi sebuah kehidupan,tetapi ia adalah sebuah permulaan bagi sebuah kehidupan yang tiada akhirnya. Ia hanyalah sebuah proses perpindahan.

Sesungguhnya terdapat beberapa faedah untuk memikirkan tentang kematian ini. Pertama,orang yang banyak memikirkan kematian akan sentiasa rajin beribadah kepada Allah Taala kerana dia sedar bahawa kehidupan manusia ini tidak dapat ditentukan bilakah hujungnya. Mungkin kita pernah mendengar salah satu rangkap lagu nasyid dari kumpulan Hijjaz iaitu :

“Hidup ini bagai lampu dinding,

Yang dinyalakan di malam hari,

Apabila minyak sudah kering,

Ia akan pasti padam sendiri”

Perumpamaan ini menggambarkan bahawa hidup kita bagaikan lampu dinding. Kita juga tahu bahawa lampu dinding ini tidak mempunyai meter atau penanda,tidak seperti tangki minyak kereta kita yang mempunyai meter. Disebabkan tangki minyak kita mempunyai meter,jadi kita dapat mengetahui bila masanya untuk kita mesti mengisi kembali minyak kereta kita. Namun,lampu dinding ini tidak mempunyai meter yang akan memberi petanda awal kepada kita seperti meter tangki minyak kereta tadi. Ia hanya akan padam sendiri apabila tiba masanya nanti iaitu apabila minyaknya sudah kering. Itulah perumpamaan hidup kita seperti lampu dinding kerana kita tidak tahu bilakah kita akan mati dan hanya mengetahui umur kita sudah habis apabila sudah padam sendiri.

Kedua,orang yang sering mengingati kematian juga akan segera bertaubat kepada Allah. Kadang2 mungkin ada di kalangan kita yang merasa putus asa untuk bertaubat kerana sudah bertaubat kepada Allah tetapi akhirnya melakukan kembali perbuatan dosa tersebut. Sebagai jalan penyelesaiannya,mungkin kita sama2 boleh merenung pesanan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin iaitu janganlah kita berputus asa dan jemu untuk bertaubat sebagaimana Allah Taala tidak pernah jemu untuk memberikan keampunan kepada kita. Apabila kita melakukan dosa,bersegeralah kita bertaubat kepada Allah dan sekiranya ada berlaku semula dosa tersebut,maka janganlah ditangguh lagi taubat tersebut kerana mungkin Allah akan mencabut nyawa kita ketika sedang dalam perjalanan menuju ke taubat yang seterusnya.

Ketiga,bagi orang yang selalu mengingati kematian,hidupnya akan menjadi tenang kerana apabila dia memikirkan tentang kematian,dia akan memperelokkan kehidupannya dan menghindarkan dirinya dari dosa serta akan banyak melakukan kebaikan. Apabila berlakunya kematian,nabi saw pernah memberikan komen terhadap kematian dengan mengatakan kematian ini boleh menjadi satu kerehatan bagi si mati atau orang lain berehat akibat kematiannya. Jika seseorang itu baik hidupnya ketika di dunia,mati itu adalah suatu kerehatan kerana telah berhenti daripada segala kepenatan ujian dunia manakala bagi orang yang sentiasa menimbulkan masalah,hidupnya menjadi beban kepada orang lain,maka matinya itu akan menjadi kerehatan kepada orang lain pula.

Sahabat2ku…apakah pula kesan2 bagi orang yang melupakan kematian ini? Akibat dari melupakan kematian ini,seseorang itu akan malas beribadah,akan menangguhkan taubat dan hidupnya akan resah. Semuanya ini bertentangan dengan keadaan orang yang banyak mengingati kematian.

Bagaimana pula dengan cara2 untuk membolehkan kita sentiasa mengingati kepada kematian?

  • Menziarahi orang sakit,khususnya orang yang sedang berada dalam ambang sakaratul maut
  • Menguruskan jenazah terutamanya bagi anak lelaki
  • Menghantar jenazah ke kubur seperti yang biasa dilakukan oleh nabi saw
  • Membuat wasiat

Sekadar ini sahajalah dulu yang dapat saya kongsikan dengan semua untuk posting kali ini. Semoga kita semua sentiasa menginsafi diri dan mempersiapkan diri untuk menghadapi hari kematian yang pasti ini. Detiknya pasti tiba……..adakah kita bersedia??

Wallahu a’lam

4 comments:

||Aku Pemikir|| said...

Salam,

minta untuk diambil linknya dan minta untuk letak link aku di blog ko..dapatlah jugak kte sama-sama jadi follower di blog masing2.

http://khairul-hafidz-alkhair.blogspot.com/


moga dapat bertukar pandangan dan pendapat


yoyo.
fk06

Pengembara Bumi Ilahi said...

wslm..ok,insyaAllah..siap menurut arahan atasan..hehe=)

PROFAZ CLUB said...

salam ziarah dari PROFAZ...tulisan yg mantap akh...syukran :)

Pengembara Bumi Ilahi said...

jzkk PROFAZ sbb sudi dtg ziarah sini..mga2 apa yg ditulis mnjdi peringatan dan bermnfaat buat diri sndri dan semua..insyaAllah=)

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template