Thursday, August 19, 2010

Ramadhan : Shift Our Paradigm!! (Part 3)

Sebelum kita menyentuh tentang bagaimana hendak menguruskan hawa nafsu ini,kita mestilah mengenal terlebih dahulu apakah yang dikatakan dengan hawa nafsu. Kadang2 ada orang bertanya kepada kita,apa bezanya antara nafsu dan akal? Emosi pula itu apa?

Untuk lebih memahami lagi,mungkin kita boleh perhatikan kepada analogi berikut. Di dalam tubuh badan kita ini,apabila kita hidup kita dikatakan mempunyai ruh. Ruh ini boleh kita ibaratkan sebagai elektrik. Apabila ia pergi ke lampu,ia akan mengeluarkan cahaya,apabila ia pergi ke peti ais ia akan menjadi sejuk walaupun enjinnya mungkin akan panas dan apabila ia pergi ke kereta ia akan memutarkan motor dan kereta bergerak. Semua ini dilakukan oleh elektrik. Maka begitulah konsep yang dimainkan oleh ruh kita. Apabila ia pergi kepada pemikiran,ia menjadi akal dan apabila ia pergi kepada soal kehendak dan kemahuan,ia menjadi nafsu.

Hawa nafsu ini digariskan oleh Imam Al-Ghazali mempunyai 3 sifat :

· Mempunyai kehendak yang tidak terbatas dan tidak pernah puas

· Boleh menguasai dan memerintahkan kepada hati untuk mengikut kehendaknya

· Tidak boleh dihapuskan tetapi ia boleh dikawal

Oleh itu,untuk mendidik dan mengawal hawa nafsu ini,ia berbalik kepada falsafah di sebalik puasa. Seperti yang kita tahu,puasa ini disebut dalam bahasa Arab sebagai “al-imsak” yang bermaksud menahan. Namun,apakah yang kita belajar daripada perbuatan menahan diri??

Ada orang yang menahan diri,tetapi menahan dirinya bukan dalam bentuk pendidikan. Contohnya,seorang yang tidak makan kerana tiada makanan. Suasananya boleh dikatakan sama seperti orang yang berpuasa tetapi mungkin peristiwa itu tidak dapat mendidiknya kerana dia membantah kondisi yang tiada makanan tadi. Tetapi falsafah di sebalik puasa ialah ketika ada makanan,kita tidak makan,ketika ada minuman,kita tidak minum dan ketika ada isteri yang halal untuk kita menyetubuhinya,kita tidak melakukannya.

Apakah rahsia di sebaliknya??? Di sinilah letaknya peranan puasa iaitu melatih dan mendidik kita supaya mempunyai keupayaan untuk mengawal diri dan memulangkan “remote control” kehidupan kita ke tangan kita semula.

Jika kita muhasabah kembali,selama ini kita mungkin telah hilang kawalan diri. Sebagai contoh,apabila kita berhadapan dengan suasana kesesakan lalu lintas di jalan raya,maka akan muncul dan keluarlah kata2 kesat dan tidak sopan daripada mulut kita akibat memberontak dengan keadaan yang sedang dialami waktu itu. Begitu juga dengan soal hawa nafsu,selama ini kita biarkan diri kita dengan mengikuti sahaja apa yang hawa nafsu kita kehendaki. Sebab itu dengan hadirnya Ramadhan ini,ia menjadi latihan buat seseorang muslim itu menahan diri dari segala segi kerana Allah Taala semata-mata. Maka di sinilah proses untuk seseorang itu kembali menguasai dan mengawal dirinya semula.

Apabila seseorang itu sudah boleh mengawal dirinya,barulah dia boleh pergi kepada proses yang seterusnya iaitu proses mendidik hawa nafsu. Hawa nafsu ini digambarkan seperti naluri “kebinatangan” dalam diri manusia. Ianya juga mempunyai ciri2 dan watak yang sama dengan seekor binatang liar. Maka untuk menjinakkan seekor binatang,perkara pertama yang perlu dilakukan adalah ianya perlu dikurung.

Justeru,sama seperti hawa nafsu,ianya perlu dikurung dengan cara menahan diri dari sumber2 yang boleh menjadikannya liar seperti makan,minum dan naluri seks tadi. Namun,hawa nafsu ini bukan sahaja dikurung,tetapi dalam masa yang sama ianya perlu diberikan sesuatu yang berlawanan terhadapnya. Maksudnya,pada bulan Ramadhan,kita gunakan bulan ini sebagai peluang untuk kita berfikir tentang perkara2 yang kontra dengan nafsu di antaranya ialah tentang akhirat,kematian,neraka dan sebagainya.

Seterusnya,ianya perlu dilakukan secara berulang2 dan apabila sampai ke petang,ia berjaya untuk tidak makan,tidak minum serta dalam masa yang sama juga ia meninggalkan rafas (kata2 yang buruk dan keji),menjaga mata dan telinganya,maka akhirnya ia diberikan upah. Samalah seperti seekor binatang yang telah berjaya mengikut arahan tuannya,maka akhirnya ia pasti akan diberikan upah oleh tuannya. Oleh sebab itu,apabila kita berbuka puasa,kita telah memberikan ganjaran kepadanya kerana telah berjaya tunduk dan patuh mengikut kawalan kita sehingga nabi saw telah bersabda : “Bagi orang yang berpuasa itu merasai 2 kegembiraan,iaitu apabila berbuka puasa dia gembira dengan berbuka puasanya dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan ibadah puasanya.” (HR Bukhari-Muslim)

Apabila kita telah menjaga hawa nafsu kita dengan melakukan perkara2 tadi,bermakna kita telah selesai menguruskan beberapa jenis nafsu yang ada dalam diri kita. Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin,nafsu di dalam diri manusia terbahagi kepada 4. Untuk itu,kita mestilah menilai dan memuhasabah bahawa nafsu kita berada dalam kategori yang mana supaya kita dapat mengawalnya di bulan Ramadhan ini.

Nafsu yang pertama adalah nafsu yang disebut sebagai “nafsu ammarah”,mengambil nama daripada apa yang Allah telah sebutkan di dalam surah Yusuf,ayat 53 yang bermaksud : “……..sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan…….”. Orang yang nafsunya dengan nafsu ammarah tidak akan takut melakukan dosa,tidak menyesal apabila melakukan dosa dan berbangga apabila melakukan dosa serta menampakkannya kepada orang lain.

Nafsu yang kedua adalah nafsu yang disebut sebagai “nafsu lawwamah” iaitu nafsu yang menyesal. Berasaskan keterangan Allah di dalam surah Al-Qiamah,ayat 2 yang bermaksud : “Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri).” Seorang manusia yang nafsunya nafsu lawwamah selalu mengerjakan kejahatan. Tetapi apabila dia mengerjakan kejahatan,dia menyesal dan dia akan cuba bertaubat. Namun,taubat yang dilakukannya itu tidak mampu untuk bertahan lama kerana setelah menyesal dan bertaubat dia kembali melakukan kejahatan lagi. Justeru,Imam Al-Ghazali ada berpesan kepada orang yang bernafsu dengan nafsu ini supaya jangan berhenti dan berputus asa untuk bertaubat kerana mungkin kita akan dicabut nyawa oleh Allah ketika sedang dalam perjalanan menuju ke taubat yang berikutnya.

Manakala nafsu yang ketiga adalah “nafsu mulhamah”,nafsu yang diilhamkan kepadanya kebaikan sehingga ia banyak melakukan kebaikan tetapi sekali-sekala terjebak juga dalam keburukan. Orang yang seperti ini sering terdorong untuk melakukan kebaikan tetapi sekali-sekala dia tersilap langkah dan melakukan perkara2 yang mendatangkan dosa. Mereka juga sering menyegerakan taubat dan berusaha untuk menghindarkan diri daripada kesalahan. Nafsu ini dinamakan sedemikian berasaskan keterangan Allah di dalam surah As-Syams ayat 8 iaitu : “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.”

Nafsu yang terakhir adalah “nafsu mutmainnah” iaitu yang disebutkan oleh Allah di dalam surah Al-Fajr ayat 27-30 : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba2Ku. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.” Sesungguhnya ini adalah tingkatan nafsu yang terhasil bagi orang yang berjaya mendidik nafsunya agar tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Sebagai kesimpulannya,bulan Ramadhan ini merupakan proses untuk mendidik dan membentuk hawa nafsu supaya apabila hawa nafsu itu dapat ditundukkan sepenuhnya,barulah kita dapat merealisasikan apa yang kita lafazkan dalam kalimah syahadah iaitu “Laa ilaaha illallah” yang bermaksud tidak ada Tuhan yang patut disembah dan diutamakan melainkan Allah. Dengan itu,akan terselamatlah kita daripada menjadi golongan manusia yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran : “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya……” (QS 45: 23). Di sini bermaksud terdapat orang yang Tuhannya adalah hawa nafsu iaitu apabila hawa nafsu diutamakan mengatasi perintah Allah SWT.

Mengakhiri posting pada kali ini,saya ingin tinggalkan dengan sebuah analogi yang mungkin dapat menjadi renungan kita bersama. Bulan Ramadhan ini boleh diibaratkan seperti sebuah pasaraya yang sedang mengadakan promosi jualan secara besar-besaran. Beli 1 dapat 10. Bukan itu sahaja,bahkan jalan2 yang rosak dan berlubang dalam menuju ke pasaraya tersebut juga telah ditampal,supaya semua kereta yang ingin melalui jalan itu tidak rosak dan perjalanannya lancar. Malahan,semua lampu isyarat juga turut dihijaukan dan kereta2 lain berhenti untuk memberikan laluan kepada orang yang mahu pergi ke pasaraya tadi. Tiba2 dah buat macam tu,masih ada juga yang tidak mahu pergi ke sana dan ini menunjukkan bahawa memang mereka tidak tertarik sama sekali dengan tawaran yang ada di pasaraya itu.

Oleh itu,bulan Ramadhan ini juga sama. Allah Taala telah membuka pintu syurga seluas-luasnya,semua pintu neraka ditutup dan syaitan turut sama dibelenggu,ganjaran pahala amalan digandakan yang mana semuanya itu adalah galakan dan tawaran istimewa daripada Allah buat hamba-Nya menuju syurga Ilahi. Namun,jika kita tidak berusaha langsung mengejar ke arah itu,bermakna sememangnya kita tidak berminat sama sekali dengan destinasi terakhir yang kita dambakan di akhirat sana.

Renung2kan dan fikir2kan………..

Wallahu a’lam

0 comments:

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template