Rasulullah saw menegaskan bahawa setiap orang adalah pemimpin. Dalam sebuah hadis, baginda bersabda :
“ Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Imam yang memimpin umat manusia adalah pemimpin dan akan ditanya tentang rakyatnya. Laki-laki adalah pemimpin bagi keluarganya dan akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin bagi rumah suaminya dan anaknya serta akan ditanya tentang mereka. Hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan akan ditanya tentang harta tersebut. Demikianlah, setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang yang dipimpinnya.” (HR Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar ra)
Hadis ini secara tegas menyebutkan bahawa wilayah kepemimpinan manusia adalah berperingkat-peringkat, bermula dari kepemimpinan terkecil dalam rumah tangga sehinggalah kepemimpinan tertinggi dalam kehidupan bernegara dan kepemimpinan antara negara (kekhilafahan). Semakin luas wilayah kekuasaan seseorang, maka semakin besar tanggungjawab yang dipikulnya. Tetapi, semakin besar pula pahala yang diraihnya jika dia mampu mengarahkan dan membimbing orang-orang yang dipimpinnya ke jalan yang lurus.
Apabila ibu bapa berjaya mendidik dan membimbing anak-anak yang berada di bawah kepemimpinannya, sehingga mereka menjadi anak-anak yang soleh, maka ibu bapa akan mendapatkan pahala yang terus mengalir dari doa anak-anaknya dan mendapat bahagian pahala dari kebaikan yang dilakukan oleh mereka. Sebab ibu bapa menjadi penyebab kesolehan anak-anaknya. Rasulullah saw bersabda :
“Apabila manusia meninggal, maka (pahala) amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (HR Tirmidzi)
Apabila pemimpin rakyat berjaya membimbing rakyat-rakyatnya kepada kesolehan melalui arahan-arahannya, peraturan-peraturan yang ditetapkannya, keteladanan yang ditunjukinya dan pelbagai kemudahan perbaikan yang diwujudkannya, maka dia akan mendapat pahala dari setiap kebaikan yang dilakukan oleh rakyat-rakyatnya. Sebab dialah yang menjadi penyebab kepada kesolehan mereka.
Rasulullah saw menegaskan hal itu dalam sabdanya,
“Siapa yang menunjukkan pada kebaikan, maka dia akan mendapat (pahala) seperti (pahala) yang diperolehi oleh orang yang melakukan kebaikan tersebut.” (HR Muslim dari Abu Mas’ud Al-Badry ra)
Hadis ini memberikan pengajaran kepada kita bahawa memberi atau menyediakan kemudahan kepada orang lain untuk melakukan kebaikan, memiliki pahala seperti orang yang melakukannya. Maka semakin ramai orang yang mendapat kemudahan dan manfaat dari kita, semakin banyak pula pahala yang diraihnya.
Rasulullah saw juga bersabda,
“Barangsiapa yang memberikan satu contoh yang baik dalam Islam, lantas ditiru orang setelahnya, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang-orang yang mencontohinya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan, barangsiapa memberikan contoh buruk dalam Islam, lantas ditiru orang setelahnya, maka dia mendapat dosa seperti dosa orang-orang yang mencontohinya, tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.” (HR Muslim)
Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang akan mendapat pahala dari kebaikan yang dilakukan oleh orang-orang yang meniru kebaikan yang dilakukannya. Semakin ramai yang mencontohi kebaikannya, maka semakin banyak pahala yang diraihnya.
Memang, semakin luas kepemimpinan seseorang, semakin besar tanggungjawab yang dipikulnya dan semakin besar risiko yang akan dihadapinya, akan tetapi semakin besar pula pahala yang akan diberikan oleh Allah SWT jika dia berlaku adil dan menunaikan kepemimpinan sesuai dengan aturan Allah SWT. Sebab itu, tidak hairan jika Rasulullah saw menyebut pemimpin yang adil dalam urutan pertama, ketika menyebut tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan di hari kiamat pada saat tidak ada naungan pada hari itu kecuali naungan Allah SWT. Sebab semakin luas wilayah kepemimpinan seseorang, maka semakin ramai orang yang mendapat kemudahan untuk melakukan kebaikan, semakin ramai yang akan meniru kebaikannya dan semakin banyak pula peluang untuk melakukan berbagai kebajikan.
Oleh sebab itu, ketika seseorang hendak memegang sesuatu jawatan penting, jangan hanya memikirkan risiko dan tanggungjawab yang bakal dipikulnya, hingga merasa takut dan berat memegang amanah tersebut, tetapi hendaklah berupaya sebaik mungkin mengurangi risiko. Kemudian, bertawakkallah kepada Allah SWT dan ingat pahala yang disediakan oleh-Nya bagi orang yang menunaikan amanah sebagaimana selayaknya.
Apabila seseorang yang akan memegang jawatan hanya memikirkan tentang risiko, tanpa mengingati keuntungan yang dijanjikan oleh Allah SWT melalui jawatan tersebut, maka dia akan menolak jawatan itu dan menyerahkannya atau membuka peluang kepada orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Ibarat orang yang mahu meniti jambatan gantung yang tinggi, jika hanya memikirkan bahaya kalau jatuh, maka orang itu tidak akan jadi menyeberang. Sebaliknya, jika memikirkan manfaat besar yang ada di hujung penyeberangan, maka dia akan bersemangat menyeberangi jambatan tersebut, namun tetap berhati-hati dan waspada. Akan tetapi, jika bahaya tidak dihiraukan hingga semangat berlebihan, maka akan menimbulkan masalah juga. Justeru ingatlah, dengan kepemimpinan kita boleh dimuliakan dan dengan kepemimpinan juga kita boleh dihinakan oleh Allah.
Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 26 yang bermaksud :
“Katakanlah, wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Wallahu a’lam.
2 comments:
bagus. satu kupasan yang menarik Jamal. apa yang saya boleh dapat adalah setiap jawatan ada risikonya. namun kita boleh mempositifkannya dengan menilai dari segi pahala yang bakal terhasil dari pimpinan kita.
^-^
InsyaAllah..semoga ada manfaat untuk semuanya..yup,setuju ngn apa yang telah difahami dari entry ni..mmg semua bnde dlm hidup ni ada risikonya yg tersendiri..termasuklah dalam hal jawatan dan kepimpinan..tapi ianya amat bergantung kpd bagaimana cara kita melaksanakannya..kalau dilaksanakan ke arah jalan yg benar,insyaAllah janji pahala dan redha dari-Nya yg bakal diraih..sebaliknya jika hanya mengumpul jawatan sebagai satu koleksi tanpa menyempurnakan amanahnya,pastilah murka dan balasan dari Allah yg akan menanti..paling tidaknya,jadilah pemimpin kpd diri sendiri dgn meletakkan diri kita pada posisi yg betul iaitu sebagai "khalifah di muka bumi" dan "hamba Allah"..
Post a Comment