Saturday, June 19, 2010

Dosa Penghalang Hidup


Memulakan posting kali ini,saya ingin memetik satu kalam Allah SWT di dalam Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah mencintai orang2 yang bertaubat dan mencintai orang2 yang menyucikan diri.”

Seterusnya daripada Aisyah ra,bahawa nabi saw pernah berdoa dengan katanya : “Ya Allah,jadikanlah aku daripada kalangan orang yang apabila berpeluang untuk melakukan kebaikan,dia merasa gembira dan terhibur dengan kebaikan itu dan apabila dia melakukan dosa dan kesalahan,dia akan bertaubat dan beristighfar di atas kesalahannya itu.”

Pada kesempatan kali ini,kita akan sama2 berbincang tentang satu perkara yang sangat berpotensi untuk menghancurkan dan membinasakan arah,tujuan,bekalan dan kebahagiaan hidup yang telah dibincangkan dalam posting2 sebelum ini iaitu berkenaan dengan dosa sebagai halangan kehidupan.

Namun,apabila kita bercakap soal dosa,sayalah orang yang paling tidak layak untuk bercakap tentang dosa lantaran diri ini terlalu banyak melakukan dosa kepada Allah SWT. Mungkin anak2 kecil yang masih suci dan bersih itulah yang paling layak untuk bercakap tentang dosa jika dilihat dari segi kelayakannya. Tetapi dosa ini adalah seumpama kotoran yang berlaku di atas tangan di mana tangan ini tidak boleh dibersihkan secara sendirian,tetapi ia memerlukan kepada kerjasama antara tangan kanan dan kiri untuk sama2 dibersihkan di bawah laluan air. Inilah perumpamaan bahawa saya dan sahabat2 semua adalah seumpama tangan kanan dan kiri untuk sama2 kita bersihkan kekotoran ini dengan hidayah dan rahmat Allah Taala.

Sekiranya dosa ini dianggap sebagai urusan peribadi,mungkin contoh2 berikut boleh berlaku :

· “Alah,sibuk je jaga tepi kain orang..ko wat hal ko je la! Macam la ko baik sangat!”

· “Ikut suka aku la nak wat ape pun..kau dosa kau dan aku dosa aku!”

· “Kubur masing2 la!”

Sahabat2ku…….

Ketahuilah bahawa dalam Islam dosa bukanlah urusan peribadi dan kita bertanggungjawab untuk saling mengingati tentang dosa ini. Dosa juga tidak boleh dijadikan bahan mainan kerana ia merupakan punca murka Allah dan ia turut menjadi penghalang untuk kita datang dan berdamping kepada Allah Taala. Satu perkara lagi yang harus kita ingat adalah dosa ini bukanlah ilmu akal,tetapi ia berkaitan dengan jiwa dan perasaan. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis nabi saw yang bermaksud : “Kebajikan adalah akhlak terpuji,sedangkan dosa adalah apa yang meresahkan jiwamu serta engkau tidak suka apabila masalah itu diketahui orang lain.” (HR Muslim)

Satu lagi analogi yang ingin saya kongsikan bersama adalah dosa juga ibarat racun kepada roh kita sebagaimana racun yang menjadi racun kepada tubuh fizikal kita. Kesan daripada racun ke atas tubuh kita itu ada yang cepat dan ada juga yang lambat. Begitu juga dengan dosa yang membunuh jiwa manusia,ada dosa yang memberi kesan yang cepat dan ada pula yang lambat. Dosa yang memberikan kesan yang cepat adalah seperti dicabut cahaya iman oleh Allah dari wajahnya manakala bagi kesan dosa yang lambat atau jangka panjang akhirnya dapat dikesan apabila manusia itu terhumban ke dalam neraka di akhirat nanti.

Para ulama’ ada membahagikan dosa ini kepada beberapa jenis seperti dosa besar dan dosa kecil. Dosa besar adalah dosa2 yang disebut di dalam Al-Quran dan ada balasan yang khusus untuknya manakala dosa kecil adalah dosa2 selainnya. Tetapi janganlah kita sering meremehkan dosa2 kecil dan hanya memberikan penekanan kepada dosa besar sahaja kerana ramai orang menempah kemurkaan Allah dengan mengumpul dosa2 kecil.

Ayuh sama2 kita fikirkan apakah yang menjadi punca kepada berlakunya dosa dalam kehidupan ini?

Perkara pertama yang menjadi punca kepada dosa ini adalah disebabkan kita jahil tentang dosa dan tidak tahu bahawa perkara itu merupakan satu dosa. Namun,keadaan ini sangat jarang berlaku kecuali untuk masalah2 yang agak sukar dan belum diputuskan lagi hukumnya. Tetapi umumnya kebanyakan manusia melakukan dosa kerana sudah selesa dengan amal keburukan dan tidak takut akan dosa yang dikerjakan.

Inilah punca utama seseorang itu melakukan dosa. Kerana itu nabi saw sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah lebih dari 70 atau 100 kali sehari lantaran merasa bersalah dan berdosa kepada Allah. Namun sayangnya penyakit kita adalah merasa diri tidak berdosa yang sekaligus menjadi punca kita melakukan dosa serta malas untuk memohon ampun kepada Allah.

Bagaimana pula dengan cara2 yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan diri kita daripada melakukan dosa?

Pertamanya,peganglah dengan sebaik mungkin tujuan hidup kita iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana ia dapat memandu kita untuk meletakkan seluruh kehidupan ini agar sentiasa beribadah kepada Allah Taala.

Kedua,pertingkatkanlah ilmu agama dalam diri untuk mengatasi masalah dosa yang dilakukan lantaran kejahilan diri supaya kita lebih sentiasa berhati2 dalam melakukan sebarang perkara dalam kehidupan ini.

Ketiga,sentiasalah kita untuk memohon ampun dan memperbaharui taubat kepada Allah di atas segala dosa yang telah dilakukan akibat keterlanjuran diri yang dikuasai syaitan durjana dan nafsu berahi.

Keempat,selalulah juga berdamping dengan orang2 yang banyak melakukan kebaikan supaya kebaikan yang dilakukannya dapat menginsafi diri dan menjadi motivasi buat diri kita untuk sentiasa istiqamah dalam melakukan amal kebajikan.

Kelima,perbanyakkan mengingati kematian kerana kematian sememangnya menjadi nasihat dan guru terbaik dalam menghindari dosa dan kemaksiatan.

Yang terakhir,jauhi teman2 yang banyak mengajak kepada keburukan dan juga tempat2 maksiat supaya diri tidak terjerumus ke lembah kebinasaan.

Sebagai muhasabah diri kita semua,marilah kita sama2 menghayati sepotong hadis nabi saw yang bermaksud : “Orang beriman melihat dosanya umpama gunung yang besar yang akan menghempapnya manakala orang yang ahli maksiat melihat dosanya umpama lalat yang hinggap di hidungnya,bila ia mengisyaratkatkan dengan tangannya maka lalat itu akan lari.” (HR Bukhari)

Renung2kan dan fikir2kan…………

Wallahu a’lam

0 comments:

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template