Monday, August 30, 2010

Lailatul Qadar di 10 Malam Terakhir Ramadhan


Sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan memiliki beberapa keistimewaan yang tidak dimiliki oleh hari2 yang lain. Di antaranya adalah,Nabi saw meningkatkan rentak ibadah pada hari2 tersebut. Aisyah ra meriwayatkan bahawa pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan,Rasulullah saw bersungguh2 dalam beribadah dengan kesungguhan yang tidak pernah baginda lakukan pada hari2 lain. Aisyah berkata, “Ketika memasuki 10 hari terakhir,Nabi saw mengencangkan kain sarungnya,menghidupkan waktu malamnya dan membangunkan keluarganya.” (HR Bukhari-Muslim).

Aisyah ra juga berkata, “Nabi saw mengisi waktu 20 hari pertama dengan solat dan tidur,tetapi jika telah memasuki 10 hari terakhir,dia pun bersungguh2 dan mengencangkan kain sarungnya.” (HR Ahmad).

Pada 10 hari terakhir ini,Rasulullah saw bersungguh2 dan meningkatkan amal ibadah melebihi hari atau malam2 sebelumnya. Baik mendirikan solat,membaca Al-Quran,berzikir,bersedekah dan sebagainya. Sebab pada saat2 tersebut,baginda mengencangkan sarung yang bererti menjauhi isteri2nya dan menghabiskan semua waktunya untuk solat dan berzikir.

Nabi saw juga menghidupkan malam dengan mendirikan solat tahajjud,membaca Al-Quran dan berzikir-baik dengan hati,lidah mahupun anggota badan lainnya. Semua itu dilakukan kerana kemuliaan malam tersebut,apalagi di dalamnya ada lailatul qadar,malam yang jika seseorang menghabiskannya dengan beribadah penuh keimanan dan harapan,maka Allah SWT akan mengampuni dosa2nya yang telah lalu.

Hadis di atas boleh difahami bahawa Rasulullah saw menggunakan waktu malamnya untuk beribadah,baik berzikir,membaca Al-Quran,mendirikan solat,makan sahur dan sebagainya. Ini bermakna Rasulullah saw boleh mengisi sepuluh malam terakhir dengan bermacam2 ibadah,sementara pada malam2 yang lain cukup dengan solat sahaja.

Salah satu bukti keutamaan sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan adalah Rasulullah saw selalu membangunkan keluarganya untuk solat dan berzikir supaya mereka boleh menggunakan malam yang penuh berkat itu dengan ibadah. Sebab malam tersebut merupakan peluang keemasan bagi orang yang mendapatkan taufik dari Allah. Justeru,bagi seorang muslim yang berakal,betapa sayangnya kalau dia melepaskan diri dan keluarganya dari kesempatan berharga itu. Sebab pada malam yang sangat terbatas itu,boleh jadi seseorang mendapatkan salah satu kurnia Tuhan yang dapat membuatnya bahagia di dunia dan di akhirat.

Namun,apakah yang dimaksudkan dengan peluang keemasan dan malam yang sangat terbatas itu? Sudah semestinya ia merujuk kepada malam Lailatul Qadar. Lailatul qadar merupakan malam terbaik di antara malam yang lain dalam setahun,sebagaimana firman-Nya :

“ Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.” (QS 97 : 1-3)

Maksudnya ibadah seperti solat,membaca al-Quran dan berzikir pada malam tersebut lebih baik dari ibadah sejenis yang dilakukan selama seribu bulan tetapi tidak ada lailatul qadarnya. Disunahkan berusaha mendapatkan malam ini pada sepuluh hari terakhir yang ganjil dalam bulan Ramadhan. Sebab,Nabi saw berusaha keras mendapatkan malamnya pada waktu2 tersebut.

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan malam itu. Ada yang mengatakannya pada malam ke-21,ada yang mengatakannya pada malam ke-23,ada yang mengatakannya pada malam ke-25 dan ada yang mengatakannya pada malam ke-29. Bahkan ada pula yang mengatakannya berpindah2 dari satu malam ganjil yang satu ke malam ganjil yang lain. Tetapi sebahagian besar dari mereka berpendapat malam itu adalah malam ke-27. Ibnu Umar meriwayatkan Rasulullah saw bersabda,

“Siapa yang ingin menjumpainya,maka berusahalah mencarinya pada malam ke-27.” (HR Ahmad)

Diriwayatkan Ubay bin Ka’ab berkata, “Demi Allah yang tidak ada Tuhan kecuali Dia,malam itu hanya ada pada bulan Ramadhan. Demi Allah,aku mengetahui malam itu,iaitu malam di mana kita diperintahkan oleh Rasulullah saw untuk menghidupkannya dengan ibadah. Ia adalah malam ke-27 bulan Ramadhan. Dan tandanya adalah keesokan harinya matahari terbit putih.”

Abu Hurairah meriwayatkan Nabi saw bersabda, “Orang yang mendirikan solat malam lailatul qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala,maka dosa2nya yang telah lalu diampuni.” (HR Bukhari-Muslim)

Aisyah ra juga pernah bertanya kepada Rasulullah saw, “Menurutmu,jika mengetahui bahawa aku sedang berada pada malam lailatul qadar,apa yang harus kuucapkan?” Rasulullah saw bersabda,ucapkan

“Allahumma innaka afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni”

Ya Allah,Engkau Maha Pemaaf dan menyukai maaf,maka maafkanlah aku. (HR Ahmad,Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Wallahu a’lam


Thursday, August 26, 2010

Al-Quran dan Bulan Ramadhan


Al-Quran sangat mencintai bulan Ramadhan. Begitu juga sebaliknya,Ramadhan sangat mencintai Al-Quran. Kedua2nya bagaikan dua sahabat yang saling mencintai antara satu sama lain. Tanggal 17 Ramadhan sering diingatkan dengan sebuah peristiwa yang cukup penting yang berlaku di bulan Ramadhan iaitu peristiwa Nuzul Al-Quran. Allah SWT berfirman,

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan,bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan2 mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)………….” (QS 2: 185)

Al-Quran turun ke langit dunia dari Luh Mahfuz di bulan Ramadhan. Bulan ini mulia dengan turunnya Al-Quran ini. Oleh sebab itulah,Rasulullah saw mempelajari Al-Quran bersama malaikat Jibril di bulan Ramadhan. Baginda mendengar,merenungi,membaca,memerhatikan hikmah di dalamnya,melaksanakan seruannya,melapangkan hatinya dan menggali cinta yang tersimpan di dalamnya. Orang yang berpuasa dan membaca Al-Quran bererti telah menyatukan Ramadhan dengan Al-Quran. Dia menghabiskan bulan suci ini bersama Al-Quran.

Membaca Al-Quran di bulan Ramadhan memiliki rasa dan kenikmatan tersendiri. Di bulan suci ini juga terdapat bisikan dan petunjuk khusus yang terpancar dari Al-Quran. Al-Quran di bulan Ramadhan bagaikan air yang membasahi tanaman,mengharumkan ruangan dan menyejukkan jiwa. Membaca Al-Quran di bulan Ramadhan mengingatkan kita pada hari ketika ia diturunkan pertama kali,mengingatkan pada saat Rasulullah mempelajarinya dan ketika kaum salaf sangat memerhatikannya di bulan suci ini.

Rasulullah saw bersabda,”Bacalah Al-Quran,sesungguhnya Al-Quran pada hari kiamat akan datang membawa syafaat bagi orang2 yang membacanya.” (HR Muslim)

Pada bulan Ramadhan,seorang muslim dianjurkan membaca Al-Quran lebih banyak daripada bulan2 lainnya sebab pahala beribadah kepada Allah pada bulan Ramadhan akan dilipatgandakan berkali-kali. Selain itu juga,Rasulullah saw,para sahabat dan ulama salaf telah melakukan perkara tersebut.

Diceritakan bahawa banyak ulama yang tidak lagi memberi fatwa,ceramah dan kajian ilmiah bagi orang2 awam dan khusus,agar boleh memfokuskan diri dan merenungi Kitabullah. Dengan demikian,seseorang seharusnya membaca Al-Quran secara perlahan sambil merenunginya sebab hal itulah yang diinginkan Allah,dapat membuahkan amal ibadah dan meningkatkan iman. Ada orang yang melakukannya secara berlebihan dan ada yang melakukannya kurang dari yang dianjurkan. Padahal yang terbaik adalah di antara keduanya.

Jika datang bulan Ramadhan,para terdahulu kita hidup bersama Al-Quran. Mereka pergi keluar juga dengan membawa mushaf Al-Quran. Rumah mereka terlihat memancarkan cahaya kebahagiaan. Mereka membaca Al-Quran secara perlahan. Mereka berhenti manakala melihat keajaiban di dalam Al-Quran. Mereka menangis tatkala mendengar nasihat dan bergembira apabila mendengar khabar gembira. Mereka melaksanakan perintah dan menjauhi larangan yang ada di dalamnya.

Namun begitu,ketika orang2 di zaman sekarang tidak lagi mendengarkan Kalam Ilahi dan mengabaikannya,pendidikan tidak lagi menjadi lurus,fitrah manusia menjadi terbalik dan pemahaman terhadap agama semakin buruk. Ketika Al-Quran diganti dengan yang lain,keburukan bermaharajalela,musibah semakin banyak,pemahaman tidak lagi benar dan tekad selalu gagal diwujudkan.

Oleh itu,kita seharusnya mengetahui bahawa Al-Quran sangat memerhatikan hidayah bagi manusia,agar mereka berada di jalan yang lurus. Al-Quran adalah cahaya dan ubat penawar hati yang mengajarkan pengetahuan dan petunjuk. Al-Quran adalah kehidupan dan ruh penyelamat yang membawa kebahagiaan,pahala dan kebaikan. Al-Quran berisi pendidikan rabbani,undang2 Ilahi dan hikmah yang kekal.

Hanyalah persoalan yang tinggal adalah apakah kita mahu hidup bersama Al-Quran ,baik di bulan Ramadhan atau pada bulan yang lain? Mahukah kita mengenal keagungan Al-Quran sehingga kehidupan kita selalu berisi kebahagiaan dan bercahaya? Mahukah kita melakukan semua itu?

Wallahu a’lam

Monday, August 23, 2010

Bagaimana Lisan Berpuasa?


Lisan juga dianjurkan untuk berpuasa. Puasa pada lisan bersifat khusus. Hanya orang2 yang tidak mahu berbuat sia2 sahaja yang tahu cara lisan berpuasa. Puasa pada lisan ini boleh dilakukan pada bulan Ramadhan ataupun di luar bulan Ramadhan. Namun,puasa lisan di bulan Ramadhan lebih dianjurkan dan disukai.

“Peliharalah bahagian ini!” kata Rasulullah saw kepada Mu’adz sambil menunjuk ke arah lisannya.

“Rasulullah,apakah kami akan mendapat seksa kerana ucapan kami?” tanya Mu’adz.

“Mu’adz,ibumu akan kehilangan dirimu. Tidaklah wajah orang2 itu dilemparkan ke dalam api neraka melainkan kerana hasil perbuatan lisan mereka.”

Lisan sangat berbahaya dan membawa banyak bahaya. Ia bagaikan binatang buas yang liar,ular berbisa dan api bergejolak.

Ibnu Abbas ra pernah berkata kepada lisannya sendiri,”Wahai lisan,ucapkanlah perkataan yang baik2 sahaja. Ucapkanlah perkataan yang bermanfaat atau diam dari keburukan. Dengan begitu kamu akan selamat. Allah akan memberikan rahmat-Nya kepada seorang muslim yang menjaga lisannya dari ucapan kotor,mengikatnya dari perbuatan ghibah (mengumpat) dan mencegahnya dari ucapan sia2 serta mengekangnya dari ucapan yang diharamkan.

Allah akan merahmati orang yang memperhitungkan ucapannya,memelihara lidahnya,memperbaiki lisannya dan menimbang-nimbang perkataannya.

Rasulullah saw bersabda,”Siapa yang memberikan jaminan kepadaku dengan menjaga bahagian tubuh antara dua rambut (misai dan janggut) dan antara dua pahanya maka aku akan memberikan jaminan berupa syurga kepadanya.” (HR Bukhari)

Bagaimana cara lisan orang yang selalu mencaci berpuasa? Bagaimana cara berpuasa bagi orang yang dipermainkan oleh lisan,diperdaya oleh ucapan dan ditipu perkataannya sendiri? Bagaimana cara orang yang suka berdusta,memperdaya orang lain,mencaci mengumpat serta melupakan hari akhirat berpuasa? Bagaimana cara orang yang suka memberikan kesaksian palsu dan tidak pernah menghentikan ucapan buruk terhadap kaum Muslimin berpuasa?

Ibnu Mas’ud meriwayatkan Rasulullah saw bersabda,

“Muslim itu adalah orang yang dapat membuat kaum Muslimin lainnya aman dari gangguan lidah dan tangannya.” (HR Bukhari-Muslim)

Ucapan baik adalah ucapan yang sopan,baik dan indah yang sama sekali tidak melukai hati,perasaan,harga diri dan kemuliaan seorang mukmin.

“Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.” (QS 49: 12)

Berapa banyak orang berpuasa yang merosak puasanya kerana tidak mampu menjaga lidahnya dari ucapan kotor,kata2 buruk serta ungkapan keji? Tujuan puasa bukan hanya sekadar lapar dan dahaga sahaja,tetapi lebih dari itu,sebagai sebuah latihan akhlak dan moral. Jika lisan tidak dipelihara dengan baik,ia akan menimbulkan sepuluh macam penyakit.

Di antara aib lisan adalah : dusta,mengumpat,mengadu domba,ucapan keji,mencela,ucapan kotor,kesaksian palsu,ucapan laknat,menghina orang lain,mengejek dan lain2. Berapa banyak perkataan yang menjerumuskan seseorang ke dalam neraka. Hal tersebut disebabkan oleh kata-katanya meluncur deras dari mulutnya tanpa kawalan,dilepas tanpa kekangan dan dibiarkan keluar begitu sahaja tanpa dipilih terlebih dahulu.

Abu Hurairah ra meriwayatkan Rasulullah saw bersabda,

“Puasa merupakan perisai. Oleh kerana itu,jika salah seorang di antara kamu berpuasa,maka janganlah berkata kotor dan bersikap tidak ramah. Jika ada yang mengajaknya bertengkar atau mencacinya,maka hendaklah dia berkata,”aku sedang berpuasa.”(sebanyak dua kali) (HR Bukhari-Muslim)

Di samping jalan menuju kebaikan,lisan juga boleh menjerumuskan orang pada jalan yang buruk. Sungguh beruntung orang yang menggunakan lisannya untuk mengingati Allah dengan mengucapkan istighfar,tahmid,tasbih,bersyukur dan bertaubat. Sebaliknya sungguh merugi orang yang menggunakan lisannya untuk menghina harga diri orang lain,menyakiti kehormatannya dan menghancurkan kemuliaannya.

Wahai orang yang berpuasa,basahi lisan kalian dengan zikir,didik dengan taqwa dan sucikan dari segala bentuk perbuatan maksiat.

Ya Allah,kami memohon kepada-Mu hati yang bersih,akhlak yang terpuji dan lisan yang selalu mengucapkan kebenaran.

Wallahu a’lam

Thursday, August 19, 2010

Ramadhan : Shift Our Paradigm!! (Part 3)

Sebelum kita menyentuh tentang bagaimana hendak menguruskan hawa nafsu ini,kita mestilah mengenal terlebih dahulu apakah yang dikatakan dengan hawa nafsu. Kadang2 ada orang bertanya kepada kita,apa bezanya antara nafsu dan akal? Emosi pula itu apa?

Untuk lebih memahami lagi,mungkin kita boleh perhatikan kepada analogi berikut. Di dalam tubuh badan kita ini,apabila kita hidup kita dikatakan mempunyai ruh. Ruh ini boleh kita ibaratkan sebagai elektrik. Apabila ia pergi ke lampu,ia akan mengeluarkan cahaya,apabila ia pergi ke peti ais ia akan menjadi sejuk walaupun enjinnya mungkin akan panas dan apabila ia pergi ke kereta ia akan memutarkan motor dan kereta bergerak. Semua ini dilakukan oleh elektrik. Maka begitulah konsep yang dimainkan oleh ruh kita. Apabila ia pergi kepada pemikiran,ia menjadi akal dan apabila ia pergi kepada soal kehendak dan kemahuan,ia menjadi nafsu.

Hawa nafsu ini digariskan oleh Imam Al-Ghazali mempunyai 3 sifat :

· Mempunyai kehendak yang tidak terbatas dan tidak pernah puas

· Boleh menguasai dan memerintahkan kepada hati untuk mengikut kehendaknya

· Tidak boleh dihapuskan tetapi ia boleh dikawal

Oleh itu,untuk mendidik dan mengawal hawa nafsu ini,ia berbalik kepada falsafah di sebalik puasa. Seperti yang kita tahu,puasa ini disebut dalam bahasa Arab sebagai “al-imsak” yang bermaksud menahan. Namun,apakah yang kita belajar daripada perbuatan menahan diri??

Ada orang yang menahan diri,tetapi menahan dirinya bukan dalam bentuk pendidikan. Contohnya,seorang yang tidak makan kerana tiada makanan. Suasananya boleh dikatakan sama seperti orang yang berpuasa tetapi mungkin peristiwa itu tidak dapat mendidiknya kerana dia membantah kondisi yang tiada makanan tadi. Tetapi falsafah di sebalik puasa ialah ketika ada makanan,kita tidak makan,ketika ada minuman,kita tidak minum dan ketika ada isteri yang halal untuk kita menyetubuhinya,kita tidak melakukannya.

Apakah rahsia di sebaliknya??? Di sinilah letaknya peranan puasa iaitu melatih dan mendidik kita supaya mempunyai keupayaan untuk mengawal diri dan memulangkan “remote control” kehidupan kita ke tangan kita semula.

Jika kita muhasabah kembali,selama ini kita mungkin telah hilang kawalan diri. Sebagai contoh,apabila kita berhadapan dengan suasana kesesakan lalu lintas di jalan raya,maka akan muncul dan keluarlah kata2 kesat dan tidak sopan daripada mulut kita akibat memberontak dengan keadaan yang sedang dialami waktu itu. Begitu juga dengan soal hawa nafsu,selama ini kita biarkan diri kita dengan mengikuti sahaja apa yang hawa nafsu kita kehendaki. Sebab itu dengan hadirnya Ramadhan ini,ia menjadi latihan buat seseorang muslim itu menahan diri dari segala segi kerana Allah Taala semata-mata. Maka di sinilah proses untuk seseorang itu kembali menguasai dan mengawal dirinya semula.

Apabila seseorang itu sudah boleh mengawal dirinya,barulah dia boleh pergi kepada proses yang seterusnya iaitu proses mendidik hawa nafsu. Hawa nafsu ini digambarkan seperti naluri “kebinatangan” dalam diri manusia. Ianya juga mempunyai ciri2 dan watak yang sama dengan seekor binatang liar. Maka untuk menjinakkan seekor binatang,perkara pertama yang perlu dilakukan adalah ianya perlu dikurung.

Justeru,sama seperti hawa nafsu,ianya perlu dikurung dengan cara menahan diri dari sumber2 yang boleh menjadikannya liar seperti makan,minum dan naluri seks tadi. Namun,hawa nafsu ini bukan sahaja dikurung,tetapi dalam masa yang sama ianya perlu diberikan sesuatu yang berlawanan terhadapnya. Maksudnya,pada bulan Ramadhan,kita gunakan bulan ini sebagai peluang untuk kita berfikir tentang perkara2 yang kontra dengan nafsu di antaranya ialah tentang akhirat,kematian,neraka dan sebagainya.

Seterusnya,ianya perlu dilakukan secara berulang2 dan apabila sampai ke petang,ia berjaya untuk tidak makan,tidak minum serta dalam masa yang sama juga ia meninggalkan rafas (kata2 yang buruk dan keji),menjaga mata dan telinganya,maka akhirnya ia diberikan upah. Samalah seperti seekor binatang yang telah berjaya mengikut arahan tuannya,maka akhirnya ia pasti akan diberikan upah oleh tuannya. Oleh sebab itu,apabila kita berbuka puasa,kita telah memberikan ganjaran kepadanya kerana telah berjaya tunduk dan patuh mengikut kawalan kita sehingga nabi saw telah bersabda : “Bagi orang yang berpuasa itu merasai 2 kegembiraan,iaitu apabila berbuka puasa dia gembira dengan berbuka puasanya dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan ibadah puasanya.” (HR Bukhari-Muslim)

Apabila kita telah menjaga hawa nafsu kita dengan melakukan perkara2 tadi,bermakna kita telah selesai menguruskan beberapa jenis nafsu yang ada dalam diri kita. Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin,nafsu di dalam diri manusia terbahagi kepada 4. Untuk itu,kita mestilah menilai dan memuhasabah bahawa nafsu kita berada dalam kategori yang mana supaya kita dapat mengawalnya di bulan Ramadhan ini.

Nafsu yang pertama adalah nafsu yang disebut sebagai “nafsu ammarah”,mengambil nama daripada apa yang Allah telah sebutkan di dalam surah Yusuf,ayat 53 yang bermaksud : “……..sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan…….”. Orang yang nafsunya dengan nafsu ammarah tidak akan takut melakukan dosa,tidak menyesal apabila melakukan dosa dan berbangga apabila melakukan dosa serta menampakkannya kepada orang lain.

Nafsu yang kedua adalah nafsu yang disebut sebagai “nafsu lawwamah” iaitu nafsu yang menyesal. Berasaskan keterangan Allah di dalam surah Al-Qiamah,ayat 2 yang bermaksud : “Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri).” Seorang manusia yang nafsunya nafsu lawwamah selalu mengerjakan kejahatan. Tetapi apabila dia mengerjakan kejahatan,dia menyesal dan dia akan cuba bertaubat. Namun,taubat yang dilakukannya itu tidak mampu untuk bertahan lama kerana setelah menyesal dan bertaubat dia kembali melakukan kejahatan lagi. Justeru,Imam Al-Ghazali ada berpesan kepada orang yang bernafsu dengan nafsu ini supaya jangan berhenti dan berputus asa untuk bertaubat kerana mungkin kita akan dicabut nyawa oleh Allah ketika sedang dalam perjalanan menuju ke taubat yang berikutnya.

Manakala nafsu yang ketiga adalah “nafsu mulhamah”,nafsu yang diilhamkan kepadanya kebaikan sehingga ia banyak melakukan kebaikan tetapi sekali-sekala terjebak juga dalam keburukan. Orang yang seperti ini sering terdorong untuk melakukan kebaikan tetapi sekali-sekala dia tersilap langkah dan melakukan perkara2 yang mendatangkan dosa. Mereka juga sering menyegerakan taubat dan berusaha untuk menghindarkan diri daripada kesalahan. Nafsu ini dinamakan sedemikian berasaskan keterangan Allah di dalam surah As-Syams ayat 8 iaitu : “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.”

Nafsu yang terakhir adalah “nafsu mutmainnah” iaitu yang disebutkan oleh Allah di dalam surah Al-Fajr ayat 27-30 : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba2Ku. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.” Sesungguhnya ini adalah tingkatan nafsu yang terhasil bagi orang yang berjaya mendidik nafsunya agar tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Sebagai kesimpulannya,bulan Ramadhan ini merupakan proses untuk mendidik dan membentuk hawa nafsu supaya apabila hawa nafsu itu dapat ditundukkan sepenuhnya,barulah kita dapat merealisasikan apa yang kita lafazkan dalam kalimah syahadah iaitu “Laa ilaaha illallah” yang bermaksud tidak ada Tuhan yang patut disembah dan diutamakan melainkan Allah. Dengan itu,akan terselamatlah kita daripada menjadi golongan manusia yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran : “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya……” (QS 45: 23). Di sini bermaksud terdapat orang yang Tuhannya adalah hawa nafsu iaitu apabila hawa nafsu diutamakan mengatasi perintah Allah SWT.

Mengakhiri posting pada kali ini,saya ingin tinggalkan dengan sebuah analogi yang mungkin dapat menjadi renungan kita bersama. Bulan Ramadhan ini boleh diibaratkan seperti sebuah pasaraya yang sedang mengadakan promosi jualan secara besar-besaran. Beli 1 dapat 10. Bukan itu sahaja,bahkan jalan2 yang rosak dan berlubang dalam menuju ke pasaraya tersebut juga telah ditampal,supaya semua kereta yang ingin melalui jalan itu tidak rosak dan perjalanannya lancar. Malahan,semua lampu isyarat juga turut dihijaukan dan kereta2 lain berhenti untuk memberikan laluan kepada orang yang mahu pergi ke pasaraya tadi. Tiba2 dah buat macam tu,masih ada juga yang tidak mahu pergi ke sana dan ini menunjukkan bahawa memang mereka tidak tertarik sama sekali dengan tawaran yang ada di pasaraya itu.

Oleh itu,bulan Ramadhan ini juga sama. Allah Taala telah membuka pintu syurga seluas-luasnya,semua pintu neraka ditutup dan syaitan turut sama dibelenggu,ganjaran pahala amalan digandakan yang mana semuanya itu adalah galakan dan tawaran istimewa daripada Allah buat hamba-Nya menuju syurga Ilahi. Namun,jika kita tidak berusaha langsung mengejar ke arah itu,bermakna sememangnya kita tidak berminat sama sekali dengan destinasi terakhir yang kita dambakan di akhirat sana.

Renung2kan dan fikir2kan………..

Wallahu a’lam

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template