Thursday, March 17, 2011

Visi dan Misi Seorang Hamba


Pertama sekali, syukur Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) dipanjatkan kehadrat Allah di atas suatu kesempatan dan nikmat kelapangan waktu yang telah diberikan ini. Rasanya sudah agak lama juga saya tidak berpeluang untuk mencoret “mutiara & hikmah” di sini bagi peringatan buat diri sendiri khasnya dan buat sahabat2 semua umumnya.

Sememangnya kehidupan kita di dunia ini penuh dengan pelbagai urusan setiap masa dan ketika. Selesai satu perkara bertandang pula perkara yang lain. Atau mungkin juga perkara yang sedang dikerjakan itu masih lagi belum selesai dengan sempurna tetapi kerja2 yang lain telah pun menanti kita di hadapan sana. Begitulah lumrah seorang manusia bersama kehidupan dunianya. Namun, jika kita gagal untuk mengurus masa dengan baik, sudah tentu kita akan mudah ditipu dan diletihkan oleh urusan kehidupan ini.

Rasulullah saw pernah bersabda, “Ada 2 nikmat di mana kebanyakan manusia tertipu atau lalai dengan keduanya iaitu nikmat sihat dan masa lapang.” (HR Bukhari dari Ibnu Abbas)

Pada kali ini, saya ingin berkongsi dan memetik sebahagian ayat2 Allah dari surah Al-‘Asr yang terdiri daripada 3 ayat sahaja. Walaupun surah ini antara surah2 yang terpendek dalam Al-Quran, tapi ia dapat memberikan suatu impak yang cukup besar. Walaupun kita juga sering mendengar, membaca dan menghafalnya, tapi ia mampu memberikan suatu kesan yang mendalam bagi orang2 yang mahu merasai dan menghayatinya.

Dalam surah yang ke-103 ini, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar2 berada dalam kerugiaan, kecuali orang2 yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”

Demi masa, demikian Allah bersumpah. Bukan main2 tentunya, kerana Allah telah menegaskan bahawa sesungguhnya semua manusia pasti akan rugi jika tidak menitikberatkan masa. Ini kerana masa atau waktu merupakan suatu momentum untuk kita meraih prestasi sebaik mungkin. Masa yang telah berlalu tidak akan pernah kembali lagi. Hanya mampu menjadi sejarah dan kenangan peribadi sahaja.

Tetapi bukan semua manusia termasuk dalam golongan orang2 yang rugi. Pengecualian diberikan khusus buat 4 golongan yang bertuah ini sahaja iaitu:

v Orang yang beriman

v Orang yang mengerjakan amal soleh

v Orang yang menasihati dalam kebenaran

v Orang yang menasihati dalam kesabaran

Dalam menyikapi surah ini, Imam Syafie rahimahullah berkata, “Seandainya manusia memahami ayat ini cukuplah agama ini baginya.” Apa maksudnya? Tentunya bermakna surah ini merupakan intisari bahawa hidup adalah kumpulan waktu. Orang yang tak mampu menggunakan waktu dialah orang yang dijamin bakal rugi.

Merujuk kepada surah ini, golongan pertama yang dinyatakan oleh Allah tidak akan rugi ialah “orang2 yang beriman”. Kita tahu bahawa setiap perkara yang kita lakukan pasti mempunyai visi atau matlamatnya yang tersendiri kan? Begitu juga dengan makhluk ciptaan Allah yang bernama manusia ini. Pasti ada visi yang ingin dicapai dan dilahirkan. Dan inilah VISI sebenar dan hakiki seorang manusia iaitu untuk menjadi orang2 yang beriman.

Dalam ayat ini, Allah SWT mengajar dan mengingatkan kepada manusia tentang masa depannya melalui visi iaitu menjadi orang2 yang beriman. Ini kerana hanya orang yang berimanlah yang mempunyai gambaran dan matlamat yang jelas terhadap masa depan dalam kehidupan dunia ini. Kita tahu dan faham bahawa visi seorang manusia adalah menjadi orang2 yang beriman. Tetapi iman yang bagaimanakah yang perlu kita lahirkan? Ciri2 iman yang bagaimana yang kita impikan?

Iman yang kita harapkan memilikinya sudah tentulah sepertimana yang telah disebutkan oleh Allah di dalam surah Al-Anfal ayat 2 iaitu:

“Sesungguhnya orang2 yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat2Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.”

Golongan kedua pula adalah “orang2 yang mengerjakan amal soleh”. Untuk mencapai visi yang diharapkan, kita memerlukan kepada misi iaitu suatu susunan gerak kerja atau langkah2 yang boleh kita lakukan bagi memastikan visi kita tercapai. Bagi orang2 yang beriman, inilah MISI yang perlu mereka lakukan iaitu dengan mengerjakan amal2 yang soleh. Sesungguhnya iman dan amal soleh ini memang merupakan suatu perkara yang tidak dapat dipisahkan lagi. Iman dan amal soleh saling terkait dan dapat memberikan positive feedback dengan saling menguat antara satu sama lain. Sebab itulah Allah sentiasa menyebut tentang iman dan amal soleh secara berpasangan di dalam Al-Quran bagi mengingatkan manusia kepada 2 elemen terpenting dari kehidupan di dunia iaitu visi dan misinya. Kenapa misi ini begitu penting sekali? Sudah tentu….kerana jika tiada misi yang sebenar, manusia akan cenderung melakukan keburukan dan kerosakan di muka bumi dan ini sangatlah bertentangan sekali dengan misi kita.

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh baik laki2 mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan memberikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (QS An-Nahl: 97)

Seterusnya, golongan manusia yang dijamin tidak rugi oleh Allah adalah “orang2 yang berpesan2 dalam kebenaran”. Dalam usaha kita untuk menggalas visi dan misi ini, ada satu hal penting lagi yang mesti disertai bersama iaitu perinsip yang cuba diperjuangkan. Di sini, Allah mahu menggambarkan kepada kita tentang PERINSIP yang mesti dipegang dan dijunjung tinggi iaitu kebenaran. Walaupun sudah mempunyai matlamat yang jelas, tetapi cara dan nilai yang diperjuangkan juga mestilah betul dan dibenarkan agama kerana kita mungkin telah biasa mendengar ungkapan yang mengatakan “matlamat tidak menghalalkan cara”. Justeru, sebagai seorang yang beriman dan beramal soleh, untuk menjunjung tinggi perinsip kebenaran, kita mestilah menghampiri kepada 2 sumber utama kita iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasul kerana semakin kita menjauhi sumber, maka akan semakin mudah kita tergelincir keluar dari landasan yang direntasi yang boleh membawa kepada kesesatan.

Yang terakhir, golongan yang tidak akan rugi adalah “orang2 yang berpesan2 dalam kesabaran”. Dalam ayat yang terakhir ini, Allah mahu menjelaskan kepada kita tentang STRATEGI yang mesti dimiliki dalam melakukan sesuatu perkara. Mempunyai visi, misi dan perinsip sahaja tidak cukup, tetapi ia mestilah disokong dan didukung kuat oleh strategi. Jadi strategi yang harus dimiliki di sini adalah kesabaran.

Kita sudah sedia maklum bahawa dalam melakukan sebarang pekerjaan pastilah tidak mudah dan banyak rintangan yang akan dihadapi. Tetapi harapnya rintangan dan kepayahan itu tidak akan mematahkan semangat kita untuk terus berusaha dan berikhtiar bersungguh2. Strategi dan perancangan tetap harus dijalankan serta tersusun rapi dan sistematik bagi meraih kejayaan. Begitu juga dengan kehidupan kita yang singkat ini. Sudah tentu ujian dan dugaan akan sentiasa singgah menerpa dan menyapa kita. Oleh itu, kesabaran inilah yang paling tepat untuk menjadi strategi dan jalan penyelesaiannya yang sangat dianjurkan oleh Allah.

“Hai orang2 yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung”. (QS Ali-Imran: 200)

Sebagai kesimpulan, seorang manusia dan seorang hamba kepada Allah yang tidak mahu dikatakan rugi mestilah mempunyai 4 elemen penting ini dalam kehidupannya iaitu:

Ø VISI : iman

Ø MISI : amal soleh

Ø PERINSIP : benar

Ø STRATEGI : sabar

Wallahu a’lam

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template