Friday, November 26, 2010

Khutbah Jumaat Sulung di Bumi UNPAD

(Intro-pujian ke hadrat Allah dan anjuran bertaqwa)

Pada hari yang penuh barakah ini, saya berpesan kepada diri sendiri, dan seterusnya berpesan kepada semua saudaraku muslimin, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan taqwa yang sebenar-benarnya iaitu dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya serta meletakkan rasa takut hanya pada Allah, beramal dengan apa yang diturunkan, berlapang dada dengan kekurangan yang ada dan sentiasa bersedia untuk perpindahan ke alam yang kekal lagi abadi. Sesungguhnya ketahuilah orang yang paling baik di sisi Tuhan ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan dengan nilai ketaqwaan itu, kita akan beroleh kejayaan sebagaimana firman-NYA yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan janganlah kamu mati melainkan kamu berada dalam keadaan Islam”.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Mimbar Jumaat pada hari ini akan membincangkan sebuah khutbah yang bertemakan “Akidah Benteng Kekuatan Ummah”.

Berdasarkan Rukun Islam yang pertama, umat Islam wajib melafazkan pengakuan keimanan mereka kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW secara tepat dan betul. Lafaz Lailahaillallah dan Muhammadur Rasulullah menunjukkan bahawa Allah SWT adalah tuhan dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi kita. Penggunaan lafaz Lailahaillallah adalah suatu bentuk pengakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan sekaligus menafikan tuhan-tuhan selain-Nya.

Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW, dasar utama perjuangan baginda adalah menguatkan akidah yang mengambil masa selama 13 tahun di Makkah. Perjuangan menegakkan akidah yang berasaskan tiada tuhan melainkan Allah ini, bukanlah perkara mudah. Baginda terpaksa menjelaskan kepada masyarakat Musyrikin tentang konsep tuhan Yang Maha Esa itu. Justeru, persoalan besar timbul di sini ialah siapakah tuhan Yang Maha Esa itu?

Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, tuhanku ialah Allah Yang Maha Esa, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, ia tidak beranak, dan ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya”.

Berdasarkan penjelasan surah al-Ikhlas ini, maka khatib ingin menegaskan bahawa sebagai orang Islam, kita mesti yakin bahawa Allah mempunyai sifat-sifat Yang Maha Esa, Dia tidak beranak dan juga tidak pula diperanakkan serta tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya. Dengan itu, umat Islam wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya tuhan dalam Islam.

Namun sejarah membuktikan bahawa manusia pada asalnya mentauhidkan Allah SWT tetapi terdapat di kalangan manusia telah terpesong menjadi sesat kerana terpengaruh dengan dakyah yang sentiasa dibayangi musuh Allah yakni syaitan dan hawa nafsu bahkan mereka mencipta pula pelbagai ajaran sehinggalah muncul agama yang pelbagai. Mereka terpesong sehingga menukar sifat Allah Yang Maha Esa itu sesuka hati mereka seperti mewujudkan tuhan yang pelbagai jantina, pokok besar sebagai tuhan, tuhan boleh makan dan minum dan manusia juga boleh menjadi tuhan. Malah mereka menyempitkan bidangkuasa tuhan itu. Berdasarkan identiti tuhan boleh bertukar ganti, maka konsep Allah Yang Maha Esa inilah yang membezakan akidah Islam dengan agama yang lain.

Ajaran Nabi dan Rasul misalnya sejak Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa ’alaihimussalam dan Nabi Muhammad SAW telah berusaha meluruskan akidah manusia agar berterusan menyembah Allah Yang Maha Esa. Islam melalui pesuruh-Nya Nabi Muhammad SAW hadir untuk meluruskan kembali kesesatan agar kembali mengesakan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 171:

Maksudnya: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).”

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Islam merupakan agama yang suci yang mempunyai standard piawaian hukum hakam atau peraturan tertentu dalam menjaga kesucian nama Allah dan kitab sucinya. Bahkan orang-orang Islam sendiri pun tertakluk kepada standard piawaian penjagaan kesucian nama Allah dan al-Quran. Kita pernah mendengar dan membaca dalam laporan media cetak dan media elektronik bagaimana pihak–pihak tertentu memijak-mijak al-Quran, helaian al-Quran dimasukkan dalam lubang tandas, helaian al-Quran menjadi kertas pembungkus, dan nama-nama Allah ditulis di alas-alas selipar dan kasut serta dipijak-pijak.

Sebagai umat Islam, kita harus sedar bahawa terdapat banyak sekali cabaran yang berniat untuk mengugat kekuatan dan kesucian Islam pada masa kini baik dari luaran mahupun dalaman. Dalam usaha menghadapi cabaran yang mengugat akidah ini, maka khatib menyeru umat Islam agar mendalami dan memperkuatkan akidah dalam keluarga sendiri agar dapat mengenalpasti siapakah Allah dan sifat-sifat sebenar Allah Yang Maha Esa. Oleh itu para penegak Islam dan ibu bapa perlu lebih peka, lebih perihatin dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid dan akidah kepada anak-anak dan masyarakat Islam agar tidak terjebak dengan dakyah sesat dalam pemahaman tentang Allah SWT.

Khutbah Kedua

(Intro-pujian ke hadrat Allah dan anjuran bertaqwa)

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Dalam khutbah yang pertama tadi,khatib telah menjelaskan betapa pentingnya akidah untuk menjadi benteng kekuatan ummah. Oleh itu, sebagai kesimpulannya, khatib ingin menarik perhatian sidang Jumaat sekalian berhubung dengan konsep ketuhanan dalam Islam iaitu:

Pertama: kalimah tauhid atau kalimah syahadah adalah ikrar pengesaan tuhan yang Maha Esa, tidak memadai dengan hanya menyatakan pengakuan tetapi kita mesti membuktikan perbuatan dan tindak tanduk seharian selari dengan hukum Allah. Kadangkala kita marah pihak lain menghina Islam tetapi terdapat di kalangan kita pun tidak beramal dengan akidah dan syariat Islam.

Kedua: kalimah syahadah yang dijadikan asas akidah adalah kalimah paling selamat untuk mengelakkan dan memelihara kita terlibat dengan syirik.

Ketiga: Al-Qur’an dan As-Sunnah dijadikan bahan rujukan mutlak untuk mengetahui dan memahami akan sifat-sifat Allah kerana maklumat-maklumatnya yang lebih lengkap, lebih konsisten dalam mempertahankan ciri-ciri kesejagatan Allah itu, dan

Keempat: mempertahankan konsep ketuhanan bermaksud mempertahankan pengertian mengesakan Allah yang sebenar oleh mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT.

Maksudnya: “Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatupun; dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah bahawa kami adalah orang Islam.” (Surah Ali-Imran: 64)

Seterusnya, pada hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita sama-sama memperbanyakkan bacaan selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, nabi Muhammad SAW sesuai dengan perintah Allah Taala di dalam surah Al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

(bacaan selawat ke atas nabi)

Untuk akhirnya, marilah kita sama-sama bermunajat kepada Allah SWT supaya sentiasa melimpahkan kesejahteraan dan rahmat yang berpanjangan kepada kita semua serta menetapkan diri kita di dalam keimanan yang sebenarnya.

(bacaan doa untuk kesejahteraan kaum muslimin, muslimat, mukminin dan mukminat)

*Disampaikan pada hari Jumaat,26-11-2010 di Masjid As-syifa’ Fakultas Kedokteran UNPAD


Thursday, November 4, 2010

Erti Sebuah Kebenaran


Pagi itu,sedang asyik berjalan-jalan menuju ke plaza FK setelah baru selesai mengikuti lab activity,langkahan kakiku terhenti sejenak dek dikejutkan oleh kedengaran suara lagu dari handphone yang menandakan adanya kiriman sms daripada seseorang.

Lantas,dengan serta-merta tangan ini memasukkan ke dalam poket seluar untuk menggapai handphone itu. Sms yang baru dikirim tadi dicermati dengan teliti. Ternyata sms tersebut merupakan kiriman daripada seorang sahabat akhwat yang berbunyi :

“Salam Jamal..nak mintak tolong ni..boleh ke?”

Sambil fikiran melayang memikirkan hal itu,tangan juga sibuk menaip sms balasan buat si sahabat tadi,

“Wslm..insyaAllah boleh je..tapi nak mintak tolong ape?”

Tidak berapa lama selepas itu,pertanyaanku dibalas lagi,

“Ada kawan lelaki satu group KKN..dia atheis..sekarang dia nak kenal Islam..dia tanya saya dan kalau boleh biar lelaki jugak yang boleh bombing dia..jadi saya nak mintak tolong awak..boleh ke?”

Tersentak sebentar kerana cuba menghadam sms itu,namun dalam masa yang sama juga cuba memberikan jawapan kepada sahabat akhwat tadi,

“Owh yeke? Ok,insyaAllah boleh..saya cuba la ye..”

Interaksi kami berakhir di situ sahaja. Lantas,saya bergegas mencari satu tempat yang boleh berehat sambil memikirkan juga perkara tersebut. Apabila memikirkan tentang perkataan “atheis” (tidak percaya kepada Tuhan) itu,saya jadi terus teringat kepada kata-kata Brother Shah Kirit ketika menyampaikan talknya dalam Seminar Comparative Religion di kampus kami pada tahun lepas.

Beliau telah mengatakan bahawa berdakwah kepada golongan atheis adalah paling mudah berbanding berdakwah kepada penganut agama-agama yang lain. Ini kerana golongan atheis telah pun separuh jalan kepada Islam. Dalam Islam,kita semua mengucapkan La ilaha illallah (tidak ada Tuhan kecuali Allah). Tetapi bagi golongan atheis ini,mereka telah pun mengucapkan ‘tidak ada Tuhan’. Cuma yang perlu ditambah atau diperkukuhkan hasil daripada dakwah kita untuk menanamkan keyakinan terhadap pengucapannya adalah ‘kecuali Allah’. Demikianlah kata-kata beliau dalam nada gurauan semata-mata.

Menyahut Seruan Dakwah

Seringkali kita mendengar perkataan dakwah bukan? Dan seringkali juga kita cuba mempelajari selok-belok tentang dakwah. Namun,apakah yang dimaksudkan dengan dakwah? Bagaimana pula dengan konsep dan misi dakwah ini?

Dakwah merupakan proses transformasi dan perubahan. Yakni,suatu proses perubahan dari yang tidak baik ke arah yang baik,dan dari yang baik ke arah yang lebih baik sehingga terwujudnya kehidupan individu dan masyarakat yang islami. Dalam kata lain,dakwah juga diertikan sebagai mengajak manusia dengan hikmah dan pengajaran yang baik sehingga mereka mengingkari thaghut (kekufuran) dan beriman kepada Allah serta keluar dari kegelapan jahiliah menuju cahaya Islam.

Kita semua tidak terlepas dari seruan dakwah dan kita semua juga berpotensi untuk berdakwah (menyeru kepada kebaikan). Mungkin boleh jadi peristiwa ini berlaku disebabkan Allah ingin menguji diriku dalam usaha menggalas amanah dakwah yang mulia ini. Dalam Al-Quran,Allah SWT telah berfirman,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan,menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (QS 3: 104)

Bagaimana pula jika kita mahu berdakwah kepada golongan atheis ini?

Bagi golongan atheis,terdapat 2 soalan lazim yang biasanya akan ditanya oleh mereka. Soalan pertama ialah ‘apa buktinya Tuhan wujud’? manakala soalan kedua ialah ‘sekiranya Tuhan itu wujud,di manakah Tuhan’? Kenapa saya tidak nampak Tuhan kalau Tuhan benar-benar wujud sebab apa yang wujud adalah kita boleh melihat,merasa,menyentuh dan mendengar bukan?

"Semua orang bercakap mengenai Tuhan. Tuhan itulah, Tuhan inilah. Semua orang mahu saya menyembah Tuhan. Tetapi, saya tidak akan menyembah Tuhan yang saya tidak kenal dan nampak. Buktikan Tuhan itu ada!". Mungkin inilah dialog yang akan diungkapkan oleh golongan atheis apabila kita bercakap soal Tuhan.

Bagaimana kita hendak mengetahui bahawa Tuhan yang kita sembah itu benar-benar Tuhan ataupun tidak?

Berbalik kepada persoalan itu,masing-masing mempunyai agama dan kepercayaan tersendiri bukan? Setiap agama juga pasti mempunyai kriteria tertentu berhubung tentang Tuhan ini. Bagi orang Islam,mengenali Tuhan adalah sesuatu perkara yang amat penting kerana segala perkara yang kita lakukan sehari-harian hendaklah berpusat kepada Tuhan. Jadi bagi orang Islam,Tuhanlah yang mesti diutamakan terlebih dahulu dalam melakukan sebarang pekerjaan,barulah disandarkan kepada sebab lain. Dalam hal ini,Islam sangat menitikberatkan siapa Tuhan dan siapa bukan Tuhan dan kita perlu memahaminya secara jelas.

Di dalam Al-Quran,Allah telah menjelaskan kepada kita siapa Tuhan dalam satu surah yang cukup pendek ayatnya. Allah berfirman,

“Katakanlah, “Dia-lah Allah,Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan Dia.” (Al-Ikhlas : 1-4)

Daripada kata-kata Allah ini,Allah telah menjelaskan kepada kita tentang 4 ciri utama Tuhan. Yang pertama,Tuhan itu adalah Esa,satu. Bukan dua,lima,sepuluh dan sebagainya,tetapi hanya satu. Cuba kita fikirkan apa yang akan berlaku jika Tuhan itu lebih dari satu? Mungkin Tuhan tersebut akan membahagi-bahagikan tugas sesama mereka dan sekiranya hal ini terjadi,bermakna kekuasaan yang Tuhan miliki sudah tidak bersifat mutlak lagi.

Sebagai analogi,katakan kita ada sebuah kereta dan kereta ini akan digunakan dalam sebuah perjalanan dari satu tempat menuju ke tempat yang lain. Tetapi kereta ini mempunyai 2 tempat memandu,2 stereng,2 brek dan sebagainya yang boleh dipandu oleh 2 orang secara bebas. Mungkin sahaja destinasi yang ingin dituju tidak akan kesampaian sekiranya perkara ini terjadi akibat berlakunya pergaduhan sesama sendiri. Tetapi ini baru sahaja sebuah kereta,belum lagi alam semesta yang terlalu kompleks sifatnya. Sudah tentulah akan kucar-kacir pentadbirannya jika berlaku pergaduhan sesama Tuhan. Ini menunjukkan bahawa Tuhan memang tidak boleh lebih dari satu. Tuhan itu Esa!

Yang kedua,Tuhan tempat meminta segala sesuatu. Ini bermakna Tuhan tidak memerlukan kepada sesuatu pun. Contohnya,Tuhan tidak memerlukan kepada makan dan minum seperti kita perlu kepadanya. Kebiasaannya setelah kita sudah makan dan minum,kita akan pergi ke tandas untuk memenuhi keperluan fisiologis. Sekiranya hal yang sama berlaku kepada Tuhan,tentu ianya sangat tidak sesuai dan layak untuk Tuhan memasuki tandas,tempat yang dianggap paling kotor bagi kita. Justeru,Tuhan bebas daripada sebarang keinginan dan kemahuan. Tuhan sama sekali tidak bergantung kepada sesuatu pun bahkan seluruh alam semesta inilah yang bergantung dan berhajat kepada Tuhan.

Ciri ketiga pula,Tuhan tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Tuhan tidak ada permulaan dan pengakhiran baginya. Sekiranya Tuhan ada permulaan,siapakah yang telah melahirkan Tuhan? Manakala siapa pula yang akan menjaga alam semesta ini jika Tuhan ada pengakhirannya? Jadi Tuhan sentiasa wujud dalam semua keadaan dan tempat. Cuba kita fikirkan lagi apakah yang akan berlaku jika Tuhan melahirkan anak-anak? Sudah tentu anak2 ini akan dipanggil anak Tuhan dan apabila besar nanti,anak2 ini juga akan menjadi Tuhan. Ini akan kembali kepada masalah ciri Tuhan yang pertama tadi iaitu Tuhan tidak boleh lebih daripada satu. Dalam masa yang sama,Tuhan juga tidak dilahirkan. Kalau Tuhan dilahirkan,tentu Tuhan mempunyai ibu dan bapa. Ini akan bermaksud Tuhan ada permulaan kerana dulunya Tuhan tidak wujud tetapi sekarang sudah wujud setelah dilahirkan. Secara fitrahnya,ibu bapa juga pastilah lebih hebat daripada anaknya bukan? Sekali lagi ini jelas bertentangan dengan sifat Tuhan yang tidak ada permulaan dan tidak ada sesuatu yang lagi hebat daripada Tuhan.

Ciri Tuhan yang terakhir berdasarkan ayat ini,tidak ada sesuatu pun yang setara dengan Tuhan. Tuhan tidak sama dengan segala sesuatu. Apa sahaja yang mata kita dapat melihatnya,itu adalah bukan Tuhan. Jika kita menutup mata pula,apa sahaja imej,gambaran atau khayalan yang muncul dalam fikiran kita juga adalah bukan Tuhan. Tuhan tidak boleh dibandingkan dengan sebarang perkara kerana semua perkara yang dibandingkan itu adalah makhluk ciptaan Tuhan.

Secara kesimpulannya,4 ayat daripada surah Al-Ikhlas ini cukup memberitahu kepada kita siapa Tuhan dan siapa bukan Tuhan. Ia boleh dijadikan sebagai ‘kayu ukur’ atau ‘batu uji’ terhadap kebenaran Tuhan. 4 ciri ini juga sangat ketat dan tegas dalam menentukan kebenaran Tuhan yang kita cari sehingga hanya Tuhan yang memenuhi semua kriteria itu akan berjaya dan mana2 Tuhan palsu pastilah akan kecundang dalam ujian tersebut.

Benarlah hidayah itu milik Allah semata-mata

Dalam usaha menyampaikan kebaikan dan kebenaran,janganlah kita terlalu cepat dan mudah berputus asa lantas segera berpaling dari usaha yang suci murni ini. Memang tidak dinafikan jalan yang ditempuh ini penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran,pelbagai duka dan kesakitan. Sirah para terdahulu juga telah mengungkapkan seribu makna dalam perjuangan. Namun,di situ jugalah terletaknya nilai sebuah kemanisan dan kejayaan.

Bertambah dan berkurangnya tahap keimanan mengikut keadaan adalah suatu fitrah dan naik turunnya semangat motivasi adalah suatu kebiasaan dalam sebuah perjuangan. Segala-galanya memerlukan kepada 2 kunci utama perjuangan iaitu istiqamah’ dan ‘kesabaran’. Tugas kita sebagai seorang manusia yang telah menerima watikah pelantikan sebagai khalifah di muka bumi daripada Allah ini adalah tidak lain dan tidak bukan hanya sekadar menyampaikan,menyampaikan dan terus menyampaikan!!

Usah begitu difikirkan soal penerimaan atau penolakan terhadap mesej yang disampaikan. Semuanya itu diserahkan menjadi urusan Allah Taala. Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan hendaklah sebaiknya kita sentiasa memohon agar Allah berkenan melembutkan hati dan melapangkan dada hamba-Nya untuk menerima kebenaran. Semoga pintu hidayah-Nya masih terbuka luas buat semua hamba-Nya.

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi,tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya,dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (QS 28: 56)

Wallahu a’lam

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template