Thursday, October 28, 2010

Petua Syurga Rumahtangga


Hayati.... pandang dengan mata, lihat dengan hati, renung dengan akal....
Semoga yang baik dapat kita contohi bersama......

Syurga rumahtangga itu fitrah Ilahi
Naluri semulajadi yang pinta diisi
Kerananya 'jejaka' rela menjadi suami
Kerananya 'perawan' rela menjadi isteri
Masing-masing dengan harapan
Agar rumahtangga membawa kebahagiaan

Matlamat yang satu tapi jalan berliku
Destinasi sama namun kaedah berbeza
Lalu bermacam-macamlah jalan ke sana

Ada yang mengatakan
Bahagia itu pada harta
Diukir dari intan permata
(gah! suamiku seorang jutawan)
Tak kurang yang merasakan
Bahagia itu pada rupa
Ditempa oleh wajah rupawan
(wah! isteriku seorang jelitawan)
Sesetengahnya berkeyakinan
Bahagia itu pada nama
Dibaja gelaran yang glamour
(ah, isteriku seorang celebrity)
Ramai jua yang merasakan
Bahagia itu pada kuasa
Dituai oleh pangkat dan jawatan
(wah! suamiku seorang negarawan)

Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati
Terbenam bagai mutiara disalut nurani
Bahagia itu pada HATI
Bertakhta di kerajaan diri
Bahagia itu pada JIWA
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu KESABARAN
Bila susah tak gelisah
Bila miskin tak pemarah
Bila sakit tak gundah

Bila gagal tak resah

Bahagia itu KESYUKURAN
Bila kaya pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tak alpa
Hakikatnya bahagia itu adalah KETENANGAN
Bila hati mengingati Tuhan
Firman Allah "Ketahuilah dengan mengingati Allah itu memberi ketenangan pada hati" (Ar-Ra’d : 28)
Suami isteri sama-sama mengerti
Maksud terseni takdir Ilahi
Itulah zikir yang hakiki
Binalah rumahtangga atas tapak iman
Tuliskan niat luruskan matlamat
"suamiku, kaulah pemimpin menuju Ilahi"
"isteriku, kaulah permaisuri hati penyeri Islamku nanti"
Muktamadlah akad sahlah nikah
Dengan nama Allah
Gerbang perkahwinan pun terserlah

Di atas tapak iman dirikanlah hukum Tuhan
Iman itu tujuan syariat itu jalan
Tempat merujuk segala permasalahan
Tempat mencari semua penyelesaian
"Isteriku, taatilah hukum Allah"
"Suamiku, patuhilah sunnah Rasulullah"
Binalah hidup di neraca makruf
Rumah jadi sambungan madrasah
Serinya kerana solat
Indahnya oleh munajat
Tapaknya.........IMAN
Jalannya...........SYARIAT
Natijahnya............AKHLAK
Tiga penjamin segala
Kunci kebahagiaan rumahtangga
Dan terciptalah: "setia dan penyayang suami"
"cinta dan kasih isteri"
Lalu berbuahlah: 'mahmudah demi mahmudah'
Yang melahirkan 'soleh dan solehah'


Wallahu a’lam

0 comments:

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template