Thursday, July 14, 2011

NICE 2011: Satu Anugerah

Alhamdulillah, setelah hampir 3 bulan tidak mencoret sesuatu di sini, akhirnya masih lagi diberi ruang dan kesempatan untuk berkongsi sesuatu pada kali ini. InsyaAllah pada kali ini saya akan berkongsi tentang satu program yang saya telah menyertainya baru-baru ini bagi mengisi masa lapang di waktu cuti daripada menghabiskannya dengan perkara yang sia-sia.

Pada 7-10 Julai yang lalu, satu program yang diberi nama National Ibnu Sina Conference and Community Engagement (NICE) telah diadakan di Kem Kijang, Kota Bharu, Kelantan berdekatan dengan Pantai Cahaya Bulan. Program ini merupakan anjuran daripada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia atau lebih dikenali dengan gelaran PAPISMA, yang merupakan sebuah pertubuhan sukarela yang ahlinya terdiri daripada pengamal-pengamal perubatan dan kesihatan seluruh negara.

Menyedari kepentingan perubatan Islam secara holistic, justeru untuk tahun ini, PAPISMA menumpukan kepada konsep Islamist Medicine: From Bench to Bedside sebagai tema program. Selain memberi kefahaman dan kesedaran kepada bakal graduan pengamal perubatan dan kesihatan berkaitan perubatan Islam, penekanan juga diberi kepada aspek praktikaliti dalam tugas di alam kerjaya.

Namun, secara spesifiknya program ini mempunyai 4 objektif utama yang digariskan iaitu:

Ø Mendedahkan kepada peserta mengenai konsep perubatan Islam dalam kerjaya sebagai pengamal perubatan dan kesihatan

Ø Mengenalpasti dan menangani isu-isu berkaitan Fiqh Perubatan, serta ketidakfahaman mahasiswa perubatan dan kesihatan mengenai fiqh dan perubatan Islam

Ø Melatih mahasiswa perubatan dan kesihatan untuk berani serta bijak dalam menjalankan kerja dakwah di bidang perubatan dan kesihatan

Ø Memberi pendedahan dan gambaran awal kepada mahasiswa perubatan dan kesihatan berkaitan kerjaya yang bakal ditempuhi

Di kesempatan ini, saya tidak akan menyentuh tentang soal makanan, penginapan atau persekitaran di tempat program, tetapi lebih menekankan kepada perkongsian pengisian dan aktiviti yang telah diadakan sepanjang program dijalankan.

Program selama 4 hari 3 malam ini dimulakan dengan slot kuliah maghrib yang bertajuk Konsep Hospital Islam atau Hospital Mesra Ibadah. Kuliah ini sepatutnya disampaikan oleh Ustaz Marzuk Shaary, merangkap Penolong Pengarah HUSM. Namun, disebabkan berhalangan, beliau tidak dapat hadir dan digantikan oleh Dr. Mohd Najib bin Mat Pa. Apa yang penting dari kuliah ini terdapat pada definisi dan tujuan Hospital Mesra Ibadah itu sendiri di mana Hospital Mesra Ibadah bermaksud sebuah hospital yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam semua aspek pengurusan dan amalan-amalan yang berkaitan, malah juga turut memudahkan dan menggalakkan ibadah serta membudayakan dalam setiap amalan. Tujuannya pula adalah untuk mencapai tahap kesihatan yang holistic dan komprehensif dari sudut jasmani, rohani dan aqli.

Dr. Najib: Hospital Mesra Ibadah

Selepas selesai solat isyak berjamaah, acara diteruskan lagi dengan sebuah pengisian yang telah disampaikan oleh Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman, seorang insan yang cukup hebat dan dikenali ramai dengan gelaran Abu Anas Madani. Beliau merupakan seorang Pensyarah KIAS dan Musyrif Pondok Sungai Durian. Tajuk yang telah dibincangkan pada kali ini adalah Konsep Perubatan Islam. Alhamdulillah, saya telah dipilih dan diberi peluang oleh sahabat kami penghulu program untuk menjadi pengacara majlis pada malam itu.

Dr. Abdul Basit: Konsep Perubatan Islam

Di sini, kami telah dijelaskan tentang bagaimana kedudukan bidang perubatan dari sudut pandang Islam itu sendiri dan bentuk-bentuk salah faham yang biasa berlaku terhadap bidang perubatan. Sebahagian besar dari professional kesihatan masih lagi memisahkan Islam dari kesihatan; Islam suku, kesihatan suku! Ia perlu diperbetulkan kerana Islam adalah agama yang bersifat syumul dan universal. Turut dibincangkan di sini adalah tentang konsep hukum-hukum dalam Islam termasuklah dalam perubatan Islam adalah untuk menjaga 5 perkara iaitu:

menjaga agama-menjaga nyawa/jiwa-menjaga keturunan/maruah-menjaga harta-menjaga akal.

Seterusnya, kami telah mendengar sebuah kuliah subuh sebagai memulakan lembaran baru di hari kedua. Pengisian ini di bawah tajuk Promosi Kesihatan Sebagai Cabang Dakwah telah disampaikan oleh Dr. Harmy Mohd Yusof dari Bahagian Family Medicine di HUSM. Kami telah dijelaskan bahawa bidang kesihatan merupakan suatu jihad untuk memperbaiki ummah atau disebut juga Jihad Kesihatan. Justeru, kami dinasihatkan agar dapat menguasai bidang kesihatan dengan sebaik mungkin dan menggunakan kebolehan yang kita ada untuk berdakwah kerana semua aspek dalam perubatan ada potensi untuk dibangunkan sebagai kerja-kerja dakwah bagi mencorak masyarakat berdasarkan nilai-nilai Islam.

Pada jam 8.30 pagi, kami sekali lagi telah mendengar sebuah pengisian daripada Dr. Harmy tentang tema program ini sendiri iaitu Islamist Medicine: From Bench to Bedside. Harapan yang sungguh besar daripada tema ini adalah agar dapat memacu usaha dalam membina generasi professional kesihatan yang ampuh pada peribadi dan mantap dengan ilmu serta iltizam dengan dakwah. Selain itu, konsep perubatan Islam berdasarkan holistic approach yang merangkumi aspek biological, social, psychological dan spiritual turut ditekankan sebagai salah satu peranan penting kami ketika di alam kerjaya nanti.

Dr. Harmy: Promosi Kesihatan Sebagai Cabang Dakwah & Islamist Medicine

Setelah selesai pengisian tersebut, kami telah mengikuti pula sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang pertama. Terdapat 3 bentuk aktiviti yang telah diberikan kepada kami iaitu sama ada pembentangan 10 perinsip dan falsafah Hospital Mesra Ibadah, promosi iklan kesihatan atau perbahasan di bawah tajuk Perubatan Alternatif Perlu Diintegrasikan Dalam Perkhidmatan Kesihatan Malaysia. Kumpulan saya telah mendapat perbahasan selaku di pihak kerajaan dan selepas mencabut undian, sekali lagi saya telah terpilih untuk menjadi pembahas ketiga yang akan membidas semua hujah pihak pembangkang dan sekaligus membuat penggulungan.

LDK 1: Perbahasan (pihak kerajaan)

Pada jam 2.30 petang selepas selesai solat Jumaat, kami mengikuti pula satu ceramah yang bertajuk Isu-Isu Kontemporari Dalam Perubatan yang telah disampaikan oleh Ustaz Fauzi Yusoh, selaku seorang Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UNISZA. Dalam ceramah ini, kami banyak didedahkan tentang fekah perubatan serta hukum-hakam berkaitan dengan isu-isu terpilih dalam perubatan. Antara isu-isu yang telah diketengahkan adalah seperti solat bagi orang yang sakit, ibadah puasa seperti perkara-perkara yang membatalkan dan tidak membatalkan puasa ketika sakit, penggunaan alkohol atau arak dalam perubatan, penggunaan ubat-ubatan yang mengandungi lemak babi serta konsep istihalah, aurat antara perawat dan pesakit dan hukum berubat itu sendiri.

Ustaz Fauzi: Isu-Isu Kontemporari Dalam Perubatan

Kemudian, sekali lagi kami telah mengikuti LDK yang kedua pada sebelah petangnya. LDK kali ini merupakan Senario Fiqh Perubatan berbentuk video workshop. Setiap kumpulan diberi tugasan untuk melakonkan watak seorang doktor dan seorang pesakit dan doktor tersebut mestilah memberi penjelasan kepada pesakit itu tentang cara-cara untuk melaksanakan ibadah solat dalam kondisi sakit itu. Antara senario yang telah dipersembahkan adalah senario pesakit yang menerima rawatan colostomy, urethral catheterization dan plaster of Paris disebabkan oleh kaki yang patah di mana kesemua contoh tersebut merupakan kondisi yang sering diabaikan oleh pengamal perubatan dan pesakit itu sendiri untuk melaksanakan ibadah khususnya ibadah solat.

LDK 2: Senario Fiqh Perubatan (plaster of Paris)

Untuk kuliah maghrib, satu pengisian yang bertajuk Cabaran Pengamal Perubatan Dalam Mengamalkan Islam Semasa Bertugas telah disampaikan oleh Prof Madya Dr. Rashidi dari HUSM. Menurut beliau, cabaran terhadap pengamal perubatan boleh datang dari faktor luaran mahupun faktor dalaman. Faktor luaran itu bermaksud persekitaran atau ruang lingkup di tempat kerja dari pelbagai aspek manakala faktor dalaman pula merupakan faktor diri pengamal perubatan itu sendiri yang tidak mahu atau gagal untuk mengaplikasikan nilai-nilai Islam dalam kehidupan kerjaya mereka.

Dr. Rashidi: Cabaran Pengamal Perubatan Dalam Mengamalkan Islam Semasa Bertugas

Sebelum merehatkan diri dan tidur, kami sempat menonton tayangan video mengenai Senario Fiqh Perubatan yang telah dilakonkan dalam sesi LDK pada petang tadi. Terdapat juga sesi soal jawab tentang video tersebut dan demonstrasi yang tepat untuk menghadapi situasi tersebut. Sekali lagi sesi ini telah dibimbing oleh Ustaz Fauzi Yusoh bertujuan untuk menguji kefahaman dan melihat keberkesanan pengisian beliau pada waktu petang tadi.

Keesokan harinya, Dr. Irfan telah menyampaikan satu kuliah subuh yang bertajuk Penulisan dan Kajian Sebagai Medan Dakwah. Banyak tips yang berguna dan bermanfaat dalam bidang penulisan telah dikongsikan oleh beliau. Selain itu, ilmu perubatan juga merupakan ilmu yang sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Justeru, beliau sangat menggalakkan dan menyarankan agar banyak kajian yang intensif dilakukan khususnya oleh pengamal perubatan muslim bagi menjadikan salah satu medan dakwah dalam perubatan dan sekaligus mencari alternatif kepada perkara-perkara yang tidak halal digunakan dalam perubatan.

Dr. Irfan: Penulisan & Kajian Sebagai Medan Dakwah

Hari ketiga ini boleh dikatakan sebagai kemuncak kepada program ini. Pada sebelah paginya, kami telah mendengar satu talk yang sangat energetic yang telah disampaikan oleh seorang insan yang cukup hebat dan terkenal. Beliau ialah Prof Dr. Muhaya Mohamad yang merupakan seorang Consultant Opthalmologist di Prince Court Medical Center. Beliau juga sering ke udara dalam satu segmen di Radio Ikim dan rancangan Mata ke Hati di saluran astro. Tajuk yang beliau sampaikan yang sepatutnya disampaikan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil adalah Role of Muslim Medical Professional dan Approach to Dakwah in Healthcare.

Prof Dr. Muhaya: Role of Muslim Medical Professional & Approach to Dakwah in Healthcare

Selama hampir 4 jam berada bersama beliau, terlalu banyak input dan mutiara yang berharga yang telah dikongsikan. Pengisian yang bersifat motivasi ini telah mengingatkan dan menyedarkan kami tentang kepentingan untuk menguasai ilmu perubatan dengan mantap dan sebaik mungkin. Ini kerana ilmu perubatan memanglah merupakan ilmu fardhu kifayah sahaja tetapi apabila kita telah melibatkan diri dalam bidang tersebut, maka ia telah berubah menjadi fardhu ain ke atas kita dan wajib pula bagi kita untuk melakukan sebaik mungkin sesuai dengan kemampuan yang dimiliki. Sebagai seorang yang berpengalaman, beliau juga telah berkongsi pendekatan-pendekatan yang sering diamalkan sebagai cara-cara untuk berdakwah kepada pesakit yang telah menerima rawatan beliau.

Di samping itu, kami juga berpeluang untuk mengikuti kegiatan outdoor yang merupakan lawatan ke HUSM, Kubang Kerian dan lawatan ke PAPISMA Stroke Center yang merupakan home visit bagi pesakit-pesakit yang menghidap stroke di kawasan sekitar Kota Bharu. Justeru, kami telah dibahagikan kepada dua kumpulan besar untuk kegiatan itu dan saya telah mengikuti lawatan ke PAPISMA Stroke Center. Kegiatan yang bersifat praktikal ini bertujuan untuk mengaplikasikan ilmu-ilmu yang telah diperolehi sejak dari awal program diadakan di samping turut memberikan sedikit pengalaman berharga kepada kami.

Lawatan ke PAPISMA Stroke Center (home visit)

Seterusnya, slot kuliah maghrib yang terakhir pada malam ini telah disampaikan oleh Dr. Wan Nazaruddin selaku Pensyarah/Pakar Anaesthesiologi USM. Beliau telah menyampaikan satu tajuk iaitu Mati Otak (Brain Death): Perspektif Moden dan Islam. Selain itu, isu-isu yang berkaitan seperti konsep organ transplantation, euthanasia dan DNR (do not resuscitate) turut dibincangkan bersama dalam kuliah ini.

Pada malam yang terakhir ini, kami telah disajikan dengan sebuah forum daripada beberapa orang ahli panel jemputan yang telah mengupas tajuk Fiqh Dakwah Dalam Perubatan dan Kesihatan. Secara umumnya, tajuk ini merupakan kesimpulan dan rumusan daripada tajuk-tajuk yang telah disampaikan sebelumnya yang menjelaskan tentang hubungkait antara bidang kesihatan dengan peranan berdakwah.

Panelis Forum: Fiqh Dakwah Dalam Perubatan & Kesihatan

Pada hari yang terakhir ini, sebuah kuliah subuh telah disampaikan oleh Prof Madya Dr. Abdul Razak yang merupakan Pensyarah/Pakar Perubatan Orthopaedik USM. Beliau telah membincangkan tajuk Kepentingan Academia dan Pentadbir Muslim Dalam Merealisasikan Hospital Mesra Ibadah. Ini kerana salah satu elemen penting dalam konsep Hospital Mesra Ibadah adalah dari pentadbir dan pengamal perubatan itu sendiri. Menurut beliau, sekiranya seorang pentadbir itu mempunyai fikrah yang baik tentang Islam, sudah tentu Hospital Mesra Ibadah yang diimpikan itu mudah untuk direalisasikan.

Prof Madya Dr. Abdul Razak: Kepentingan Academia dan Pentadbir Muslim Dalam Merealisasikan Hospital Mesra Ibadah

Sebelum sesi majlis perasmian penutup diadakan, kami telah mengadakan sesi Resolusi di mana setiap kumpulan dikehendaki menyenaraikan 10 komen, cadangan serta harapan terhadap program ini dan memilih satu point yang paling utama untuk digabungkan dengan point-point daripada kumpulan lain. Kesemua points yang berjaya digali telah disenaraipendekkan oleh kami serta sekaligus telah menjadi piagam kami di Program NICE 2011 ini.

Sesi Resolusi


Wallahua’lam

1 comments:

Ahmad Zulfahmi said...

Ahsanta ya akhi :))

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template